Veteran Tentera Di Perlis Diminta Kemas Kini Maklumat Peribadi

KANGAR – Lebih 1,000 anggota Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) cawangan Perlis diminta mengemaskinikan maklumat peribadi mereka bagi mengelak kesulitan penyaluran bantuan kebajikan kelak.

Yang DiPertuanya, Datuk Idrus Kassim berkata jika tidak berbuat demikian masalah akan menjadi rumit apabila berlaku perceraian atau mereka berkahwin baharu dan mempunyai anak tetapi tiada dalam rekod PVATM.

“Apabila ini berlaku, anak-anak dan isteri atau bekas isteri sukar mendapat bantuan kebajikan yang disediakan kepada mereka apabila anggota PVTAM itu meninggal dunia,” kata Idrus kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya terdapat kes pertikaian tuntutan hak seperti pencen, elaun sara hidup, bantuan perubatan dan pendidikan antara isteri baharu dengan bekas isteri sehingga dibawa ke mahkamah apabila anggota PVATM itu meninggal dunia.

“PVATM cawangan Perlis dianggotai hampir 3,000 bekas tentera dan cuma kira-kira 300 orang yang belum mendaftar sebagai anggota,” katanya.

Beliau berkata mereka boleh datang ke pejabat PVATM di Medan Syed Alwi di sini untuk mendaftar. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com