Uber Siasat Dakwaan Pemandu Jadi "Sesumpah" Di KLIA, KLIA2


PETALING JAYA - Syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing, Uber Malaysia sedang menyiasat insiden pemandunya yang gagal mematuhi peraturan ketika beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 di Sepang.

Syarikat itu dalam satu kenyataan memberitahu siasatan secara terperinci kini dibuat bersama pihak berkuasa berkaitan.

“Kami mengambil laporan-laporan berhubung insiden ini secara serius dan sedang menyiasatnya dengan teliti bersama-sama dengan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Syarikat itu mengulas pendedahan mStar Online mengenai tindakan kelompok pemandu Uber/Grab yang sanggup bertukar status menjadi ‘ulat’ untuk mendapatkan penumpang di KLIA dan KLIA2 bagi mengaut untung bersih.

Portal berita ini menamakan kelompok pemandu ini sebagai ‘sesumpah’ bagi membezakannya dengan ‘ulat’ sedia ada, sesuai dengan sifat haiwan itu yang sering berubah-ubah mengikut persekitaran.

Menurut Uber, pihaknya menghargai orang awam yang membuat laporan berhubung kejadian seumpama itu kepada syarikat berkenaan.

“Di Uber, membawa penumpang ke destinasi dengan selamat merupakan salah satu perkara paling penting yang menjadi amalan.

“Kami tidak akan membiarkan insiden berkenaan menjejaskan kepercayaan pelanggan terhadap Uber,” katanya  sambil menambah bahawa Uber memberi kesan positif kepada masyarakat dan bandar.

Sehubungan itu, Uber akan terus menambah baik perkhidmatan dan mengkaji maklum balas yang diterima bagi memastikan setiap pelanggan menikmati pengalaman perjalanan terbaik.

“Matlamat kami adalah menyediakan pilihan perjalanan yang selamat, selesa dan boleh dipercayai kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Berdasarkan tinjauan, kerakusan aktiviti ‘sesumpah’ ini, termasuk ulat sedia ada menjadi antara faktor  pendapatan harian pemandu teksi KLIA  terjejas kira-kira 50 peratus.

Syarikat Uber dan Grab juga dianggarkan ‘terlepas’ sejumlah komisen apabila pemandu mereka dengan pantas akan mematikan status sebagai pemandu yang sedang bertugas sebaik mendapat pelanggan, walaupun sebelum itu nama dua syarikat itu digunakan ‘memancing’ perhatian 'mangsa'.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan terperinci daripada Uber dan Grab berhubung insiden yang berlaku di KLIA dan KLIA2.

Sehingga berita ini disiarkan, Grab masih belum memberikan sebarang komen atau tindak balas.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com