Tulisan Dr Mahathir Tunjuk Kurang Faham Tentang FDI - Menteri


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membidas tulisan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya dengan berkata ia menunjukkan bekas perdana menteri itu kurang faham tentang pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata tulisan Dr Mahathir itu juga menunjukkan pendirian tidak konsistennya berhubung isu berkenaan serta tidak faham tentang kedaulatan.

"Sekiranya orang asing dibenar membeli tanah di Malaysia, ia akan meningkatkan nilai hartanah itu. Tetapi, perbuatan itu tidak memberi kedaulatan kepada orang asing terhadap tanah yang mereka beli.

"Tanah berkenaan tetap terletak di bumi Malaysia," kata Salleh dalam blognyahttp://sskeruak.blogspot.my/ pada Jumaat.

Beliau berkata menarik FDI boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk, termasuk loji pembuatan, syarikat perniagaan, pelaburan hartanah, resort dan kelab.

Malah, kata beliau, padang golf yang dibuka orang asing juga menarik FDI, tetapi nampaknya, Dr Mahathir berpendapat FDI hanya bererti kilang.

Beliau juga berkata kehadiran banyak orang asing di sesebuah negara di dunia sudah tentu mengubah struktur sosial negara berkenaan.

"Itulah sebabnya lebih 50 peratus rakyat Britain mengundi menyokong Brexit.Tetapi, apakah yang dimaksudkan Dr Mahathir mengenai kesan besar terhadap landskap politik negara ini pada masa akan datang?

"Boleh tak beliau menyebut secara khusus? Apakah sebenarnya yang beliau maksudkan? Adakah beliau bercakap tentang kuasa politik orang Melayu?," katanya.

Salleh berkata pendirian Dr Mahathir menjadi lebih mengelirukan apabila beliau pernah berkata Umno perlu dikalahkan pada pilihan raya umum akan datang.

"Sekarang beliau berkata sebaliknya pula. Jadi, apakah sebenarnya yang Dr Mahathir mahu? Dr Mahathir mahu mengubah landskap politik Malaysia, tetapi bersungut pula tentang kemungkinan orang asing akan mengubah landskap politik ini," kata Salleh. -Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com