Tiga Anggota Polis Didakwa Edar, Miliki Dadah Di Kedah


ALOR SETAR – Tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam bagi kesalahan memiliki dan mengedar dadah pada pertengahan bulan ini.

Dalam pertuduhan pertama, dua daripada mereka iaitu Mohd Norhidayat Mat Din, 26, dan Mohammad Rosside Rosli, 28, didakwa secara bersama-sama mengedar dadah Methamphetamine seberat 75,339 gram.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa secara bersama-sama mengedar dadah jenis Heroin yang dianggarkan seberat 74.21 gram.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang pada 10.10 malam 16 Jan lepas dan mereka dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Semakan 1980) yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.

Dalam pertuduhan berasingan di mahkamah sama, Wan Mohd Suhaimi Wan Sidek, 42, yang juga anggota polis, didakwa memiliki dadah berbahaya jenis Cannabis yang dianggarkan seberat 70 gram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Felda Sungai Tiang, Pendang, pada 8.55 malam, 16 Jan lepas mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 (Semakan 1980) yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak lebih 10 kali, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripadanya.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kesemua kes akan disebut semula pada 6 April ini sementara menunggu laporan Jabatan Kimia. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com