Tidak Adil Kritik Karya Ulama Secara Umum - HESA

Ahmad (kiri) sentiasa berkongsi pandangan dengan ulama mengenai sekolah pondok.
ALOR SETAR - Penilaian yang adil dan berakhlak perlu dititikberatkan ketika mengkritik karya-karya ulama silam, kerana kebanyakan ulama menerapkan kaedah pengajian yang berdisiplin terutama aspek hadis dan mengambil hukum daripadanya.

Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (Hesa), Ahmad Yahaya berkata, pengajian ulama terdahulu adalah melalui kaedah talaqqi dan sanad yang begitu ketat dalam menentukan kedudukan sesuatu hadis yang diriwayatkan.

“Adalah tidak adil jika mengkritik karya mereka secara umum tanpa menyatakan secara jelas atau khusus kesalahannya, selain hadis mana yang dikatakan palsu dan ditulis dalam kitab-kitab ulama terdahulu,” katanya.

Menurutnya, adalah lebih elok sekiranya generasi kini bersikap sederhana dalam menilai hadis, tanpa terlalu syadid (keras) dan tidak juga mutasahil (bermudah-mudah).

Ahmad berkata, kitab karangan ulama terdahulu dipelajari pula secara talaqqi dan bersanad oleh guru pondok dan disampaikan melalui kaedah sama.

"Andai terdapat keraguan atau kesamaran dalam kitab, nescaya akan diperjelas sewaktu pengajian pondok.

"Sekadar menyebut secara umum bahawa kitab tertentu memasukkan hadis palsu hanya akan menimbulkan kekeliruan dan keraguan masyarakat terhadap ulama dan kitabnya, terutama kini ramai pihak pertikaikan ulama secara terbuka," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pensyarah kanan di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Faisal Ahmad Shah, banyak hadis palsu terdapat dalam kitab agama berbahasa Arab yang dibawa atau dikarang pendakwah Islam, digunakan secara meluas di pusat pengajian pondok seluruh negara.
Ahmad berkata, mereka yang prihatin tentang sistem pengajian pondok diharap menyelami sistem pengajian, kitab dan teknik penyampaian guru pondok agar penilaian yang lebih adil dan berakhlak dapat diberikan.

“Guru pondok amanah dalam menyampaikan ilmu dan berjuang untuk kepentingan agama, bukan diri sendiri. Mereka bersedia menerima apa jua pandangan dan penambahbaikan terhadap sistem pengajian, dengan syarat Turath al-Islami (karya ulama silam) dipertahankan dan kaedah talaqqi serta pengajian bersanad diperkukuh,” katanya.    

Ahmad berkata, sekolah pondok terbukti menjadi benteng mengukuhkan akidah Islam ketika negara dijajah, dan penyumbang besar dalam melahirkan ilmuan, pemimpin masyarakat dan golongan soleh.

“Jika kita miliki kepakaran dalam ilmu dan hadis, adalah lebih baik bersama mengukuhkan sistem pengajiannya, termasuk kitab yang digunakan berbanding mengkritik,” katanya.

Menurutnya, Hesa yang menaungi lebih 100 buah institusi pendidikan Islam di Kedah termasuk lebih 30 buah pondok umumi kesal dengan wujudnya kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham dan kekeliruan masyarakat serta persepsi negatif terhadap sistem pengajian pondok, khususnya kitab pengajian yang menjadi sukatan wajib.

“Saya ingin berkongsi respon Maulana Hussien berkaitan kritikan terhadap kitab ulama terdahulu yang didakwa memuatkan hadis mauduk (palsu) dan amat dhaif (lemah). Pertama, menjawab persoalan melibatkan ilmu jarh wa ta’adil yang memerlukan mereka yang benar-benar ahli, dan kedua, melihat manhaj penilaian sama ada mereka syadid atau tidak dalam menilai hadis,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com