Tiada Permit Dikeluarkan Untuk "Dego Ride"


KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan tidak pernah mengeluarkan permit dan lesen untuk perkhidmatan ‘teksi motosikal’ bagi pengambilan penumpang menggunakan motosikal.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata perkhidmatan itu yang juga dikenali sebagai ‘dego ride’ adalah menyalahi Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Setakat ini, tiada lesen dikeluarkan untuk lesen teksi motosikal, kalau mereka membuat perniagaan, ia adalah suatu yang haram.

“Kita boleh dakwa mereka di bawah Lesen Kenderaan Moto (LKM) untuk kegunaan peribadi dan bukan perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya peringkat Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

‘Dego ride’, yang beroperasi menggunakan aplikasi maya, diperkenalkan sejak November lepas dan semakin popular dalam kalangan warga kota sebagai alternatif murah dan pantas untuk mengatasi masalah kesesakan di ibu negara.

Perkhidmatan itu yang menyamai ‘ojek’ di Indonesia dan ‘motorsai rap chang’ di Thailand menawarkan tambang serendah RM2.50 untuk perjalanan sejauh 3  kilometer (km) dan tambahan RM0.60 bagi setiap 1km berikutnya.

Ab Aziz berkata, kerajaan hanya membenarkan perkhidmatan Uber dan GrabCar, yang beroperasi menggunakan aplikasi maya, dan perkhidmatan itu akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang.

Mengulas isu ‘ulat teksi’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menyalahgunakan platform perkhidmatan Uber dan GrabCar, beliau berkata pihaknya akan memantau dan membuat operasi dari semasa ke semasa bagi membendung perkara itu.

“Uber dan GrabCar ini memenggunakan aplikasi maya, mereka (pemandu biasa) tidak boleh menjadi ‘ulat’ kerana aplikasi itu perlu didaftarkan.

“Di terminal KLIA, kita sudah ada penguatkuasaan daripada JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) dengan kerjasama MAB (Malaysia Airport Berhad) selaku pentadbir di sana,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Aziz berkata Kementerian Pengangkutan akan mengadakan bengkel dengan semua pengusaha bas di seluruh negara pada 11 Feb ini bagi menjelaskan tentang pendekatan pengguatkuasaan yang lebih tegas terhadap pengusaha dan pemandu bas di negara ini. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com