Tiada Kemungkinan Militan Malaysia Tinggalkan Guantanamo


KUALA LUMPUR - Sumber risikan menolak kemungkinan militan rakyat Malaysia, Mohd Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep dipindah keluar dari kem penahanan pengganas Teluk Guantanamo, Amerika Syarikat (AS) ke negara ini.

Sebuah portal berita antarabangsa melaporkan bahawa Presiden Barack Obama merancang untuk memindahkan sekurang-kurangnya 18 lagi tahanan dalam beberapa hari selepas mengumumkan bahawa empat tahanan dihantar ke Arab Saudi.

Kumpulan yang dikeluarkan itu di kalangan mereka yang ditahan di Guantanamo selama lebih sedekad.

Berdasarkan sumber tentera yang diberi taklimat mengenai proses itu, sejumlah 22 tahanan sedang dipersiapkan untuk dipindahkan keluar dari kem itu, sebelum 20 Januari ini.

Pada Khamis lalu, Pentagon mengumumkan pemindahan empat tahanan ke Arab Saudi iaitu Yemenis Salem Ahmed Hadi, Mohammed Ghanim, Mohammed Bawazir dan Abdullah al Shabli.

Portal tersebut turut memetik sumber sebagai berkata, terdapat tiga lagi set pemindahan akan dilakukan sebelum Obama meninggalkan pejabatnya pada 20 Januari ini.

Bagaimanapun, sumber risikan menolak kemungkinan ketika ini mengenai Mohd Farik Amin, juga dikenali sebagai Yazid Zubair dan Mohammed Nazir Lep, dikenali sebagai Bashir Lap menjadi antara kumpulan seterusnya yang akan dibebaskan dari pusat tahanan itu.

"Ia merupakan satu proses yang panjang dan sukar. Kedua-dua negara mesti bersetuju dengan kaedah pemindahan dan lokasi yang sesuai serta tempoh untuk menahan banduan ini di Malaysia," dedah satu sumber.

Difahamkan, pentadbiran Presiden Barack Obama sedang mengkaji untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman ke atas kedua-dua mereka di mahkamah tentera AS, untuk tempoh tertentu dengan baki hukuman akan dilaksanakan di Malaysia.

"Masalah pertama timbul kerana Malaysia tidak mengiktiraf kuasa mahkamah tentera.

"Masalah kedua, Malaysia mungkin mahu menahan mereka di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca), di mana AS tidak bersetuju dengan cara itu," jelas sumber lain.

Walaupun tanpa halangan itu, masalah paling utama adalah tahap bahaya dua tahanan itu, melihat kepada penglibatan mereka dalam Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Mohd Farik adalah seorang pakar bahan letupan dan antara mereka yang bertanggungjawab dalam menyalurkan keperluan pembiayaan bagi serangan ke atas Hotel JW Marriot di Jakarta pada 2003.

Mohammed Nazir pula mempunyai kepakaran khusus sebagai penggodam dan sasaran individu penting AS di rantau ini.

"Mereka adalah ahli berkedudukan tinggi dengan pengaruh yang besar.

"Ada kemungkinan tinggi mereka akan kembali kepada kehidupan militan dan menyertai kumpulan lain terutamanya Negara Islam (IS)," katanya.

Jika Mohd Farik dan Mohammed Nazir berjaya dibawa pulang ke Malaysia, Ayob berkata, polis akan meletakkan mereka dalam program deradikalisasi sebagai usaha pemulihan.

"Program kami telah terbukti berkesan dan kedua-dua mereka pasti dapat melaluinya.

"Kami komited dalam menjalankan program pemulihan di deradikalisasi militan," katanya.

Bagi seorang lagi tahanan Guantanamo, Riduan Isamudin, seorang warga Indonesia yang dikenali sebagai Hambali, Ayob berkata, ia akan menjadi satu cabaran bagi rantau ini jika dia dilepaskan, melihat kepada kepakarannya dalam merekrut ahli dan melakukan serangan.

"Dia tidak akan dipanggil sebagai Osama Bin Laden bagi Asia Tenggara tanpa sebab. Dia dikenali dan mampu merekrut serta melancarkan serangan besar-besaran ke atas kepentingan Barat di rantau ini," katanya.

Memandangkan ancaman semasa IS, Ayob berkata, pembebasan ketiga-tiga pengganas terkenal itu hanya akan merangsang kumpulan pengganas yang seterusnya.

"Risikan menyatakan bahawa kumpulan pengganas itu merancang untuk mengembangkan pengaruhnya di Asia Tenggara.

"Jika mereka dibebaskan, IS akan mendapat satu 'senjata' berharga yang akan memperkukuhkan barisan mereka," katanya.

Pada September tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa Mohammed Nazir mungkin dipindahkan ke Malaysia tetapi dia perlu meneruskan proses deradikalisasi dalam penjara.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com