AddThis

Tanah Rizab Melayu: Belia Darul Aman Sambut Baik Tindakan Kerajaan Negeri

ALOR SETAR - Tindakan Kerajaan Negeri Kedah yang bertindak pantas menyelesaikan masalah gadaian Tanah Simpanan Melayu (TSM) yang tidak dapat dibiayai oleh institusi kewangan kormesial sebelum ini disambut baik dan lega oleh golongan belia di negeri ini.

Pengerusi Kelab Belia Darul Aman, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tindakan tersebut telah menyebabkan tanah yang berstatus rizab Melayu dapat dibangunkan secara strategik dan meningkatkan lagi nilai tanah berkenaan.

"Secara tidak langsung juga penerimaan pakai Seksyen 19, Enakmen Rizab Melayu Kedah no.63 membolehkan, TSM yang meliputi hampir 75 peratus di kawasan bandar utama dapat dibangunkan secara strategik lagi terancang.

"Nilai semasa TSM meningkat, lebih banyak agenda pembangunan boleh dirangka, sektor hiliran seperti perumahan baru serta pusat komersial juga dapat dijana dan secara langsung turut memberi pulangan pada pemilik TSM sendiri," katanya kepada Kedahnews.com, di sini.

Jelas Syed Mohd Johan Rizal, sekiranya isu gadaian tersebut terus dibiarkan tergendala lebih lama, ia dijangka akan merugikan rakyat khususnya bangsa Melayu di Kedah ekoran tidak dapat memiliki tanah rizab berkenaan untuk dibangunkan ekoran ketidakmampuan membeli secara tunai.

Selain itu beliau yang juga merupakan seorang peguam itu berkata, 75 peratus tanah rizab Melayu itu berkemungkinan akan berubah menjadi rendah nilai kerana tidak dapat dimiliki, tidak mampu dibeli, tidak laku dan akan dipenuhi dengan semak samun tanpa pembangunan.

Justeru itu beliau berkata, pengumuman Kerajaan Negeri yang setuju mengisytiharkan kebenaran kepada institusi kewangan kormesial untuk membiayai gadaian tanah rizab Melayu di bawah enakmen berkenaan adalah tepat dan disambut baik.

"Kelab Belia Darulaman mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang perihatin dengan isu ini dan seterusnya mengambil langkah tepat menyelesaikan segera.

"Langkah kerajaan Negeri yang pro aktif dan responsif ini menjadi satu mercu tanda baru ke arah kemakmuran dan sinergi kekayaan mahupun milikan aset strategik kepada bangsa Melayu agar tidak terlindung dari arus kepantasan ekonomi semasa," kata Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar itu.

Pejabat Tanah Daerah di Kedah difahamkan sebelum ini telah diarahkan untuk menangguhkan pendaftaran semua urusan gadaian atas Tanah Rizab Melayu kepada institusi kewangan yang tidak disenaraikan bawah Jadual Kedua, Enakmen Tanah Rizab Melayu.

Surat yang ditandatangani oleh Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kedah, Datuk Md Zuki Siru itu turut menyebut bahawa arahan itu berkuat kuasa serta merta sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.

Namun begitu, mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 12 Januari lalu telah mengeluarkan arahan penerimaan pendaftaran tanah rizab Melayu di negeri Kedah, sekaligus membatalkan arahan PTG itu. - Kedahnews.com


No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com