Tan Cheng Hoe Masih Belum Berpuas Hati

KETUA jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe belum berpuas hati dengan empat kemenangan yang dilakar skuad Hijau Kuning dalam perlawanan persahabatan kerana yakin kemampuan anak didiknya lebih daripada sebelum ini.

Menurutnya, sebagai persediaan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan pertama musim baharu Liga Super, pemain Kedah perlu mempamerkan aksi lebih baik.

Beliau berkara, sepanjang pemerhatiannya dalam perlawanan pramusim sebelum ini, masih terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Antara kelemahan yang perlu diatasi ialah persefahaman antara penyerang baru Ken Illso Larsen dan dua calon pertahanan dari Korea Selatan yang bakal menggantikan Bang Seung Hwan.

"Kini kita bakal berdepan PKNS pada 7 Januari depan di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya (8.45 malam) dan kemudian menentang Terengganu pada 9 Januari di Stadium UKM Bangi  (5 petang) manakala pada 11 Januari akan bertemu Felcra FC di Stadium Universiti Malaya (8.45 malam).

"Saya harap baki perlawanan persahabatan ini akan digunakan sebaiknya untuk pemain memperbaiki kelemahan yang ada sebelum kita memulakan Liga Super musim ini," katanya.

Cheng Hoe menambah, dua pemain pertahanan dari Korea Selatan, Jang Suk Won dan Ahn Jae Hoon akan diberi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di sekitar Lembah Klang pada minggu depan.

Jelasnya, dua pemain berkenaan juga tidak mempunyai banyak masa untuk menyesuaikan diri dan mereka perlu merebut peluang yang ada.

"Saya lega kerana 95 peratus pemain yang bakal beraksi musim ini adalah pemain yang membantu Kedah menjuarai Piala Malaysia musim lalu.

"Cuma kita diperkuatkan lagi dengan kehadiran beberapa pemain import dan pemain tempatan," ujarnya.

Sumber: mStar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com