Tabika Kemas Akan Dilanjut Sehingga 5 Petang


SEPANG – Sesi pembelajaran Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bakal dilanjutkan sehingga 5 petang mulai 2018, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata lanjutan itu antara lain bertujuan menjadikan Tabika Kemas sebagai ‘transit’ kepada kanak-kanak sementara ibu bapa mereka bekerja.

“Ia inisiatif kementerian untuk meringankan beban keluarga selepas mengambil kira cadangan dan pandangan daripada ibu bapa yang merasa bimbang mengenai keadaan anak-anak semasa mereka bekerja,” katanya kepada media selepas meninjau hari pertama persekolahan Tabika Sri Siantan di sini, hari ini.

Ketika ini sesi pembelajaran Tabika Kemas bermula 7.30 pagi dan berakhir pada 11 pagi.

Ismail Sabri berkata kementerian akan mengkaji pelbagai aspek berkaitan seperti kos serta peruntukan memandangkan lanjutan waktu pembelajaran akan turut melibatkan penambahan tenaga pengajar.

Beliau berkata dari aspek akademik pula, ia akan diisi dengan aktiviti seperti kelas bahasa.

Ismail Sabri berkata Tabika Kemas menerima seramai 223,000 pelajar di seluruh negara membabitkan kanak-kanak berumur lima dan enam tahun untuk sesi pengajian tahun ini.

Katanya kerajaan memperuntukkan RM120 juta bagi penyediaan buku aktiviti pembelajaran, pembelian peralatan, pakaian seragam dan bantuan makanan tambahan untuk sesi pengajian tahun ini.

Kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak RM6.3 juta untuk membaik pulih atau menaik taraf kira-kira 200 tabika dan taska di bawah kendaliannya yang uzur demi keselesaan murid, katanya.

Ismail Sabri dalam pada itu berkata 89 Tabika Kemas ditutup akibat banjir yang melanda pantai timur, iaitu 73 di Kelantan dan 16 Terengganu.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 4,208 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 3,774 orang pagi tadi.

Situasi banjir di Terengganu kembali membimbangkan dengan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,712 orang pada 1 tengah hari ini berbanding 798 orang pagi tadi. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com