Sijil Halal: JAKIM Puji Langkah McDonald's


PETALING JAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memuji langkah McDonald's Malaysia melarang kek tanpa sijil halal memasuki premisnya.

Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha berkata, usaha McDonald's itu mencerminkan komitmennya dalam memastikan status halal terpelihara.

Beliau menjelaskan bahawa pengeluaran sijil halal oleh jabatan berkenaan adalah selaras Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (semakan ketiga) 2014.

"Manual ini mempunyai 13 garis panduan berhubung pemberian sijil halal kepada pengusaha makanan, dan Jakim menyifatkan polisi yang dilakukan McDonald's merupakan inisiatif yang baik, yang mengikut Sistem Pengurusan Jaminan Halal," katanya.

Othman menambah, polisi itu bukan sesuatu yang baharu kerana banyak pengusaha makanan telah mengamalkan "polisi makanan luar tidak dibenarkan" yang menjadi kebiasaan di kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, mereka yang tidak pasti mengenai isu berkaitan dengan status halal di restoran dinasihatkan untuk merujuk dengan pihak berkuasa.

Minggu lalu, McDonald's mengesahkan ia melaksanakan satu polisi yang melarang pelanggannya daripada membawa kek tanpa pensijilan halal ke premisnya, dan menjelaskan bahawa ia bagi memenuhi keperluan yang ditetapkan Jakim.

Sumber: mStar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com