"Siakap Banjir" Dilelong Murah Di Tumpat


TUMPAT – Tidak mahu menanggung kerugian besar, 30 penternak ikan sangkar di Laguna Sri Tujoh melelong ikan siakap  yang tidak sempat diselamatkan akibat banjir.

Lelongan sebanyak tujuh tan ikan siakap pelbagai saiz itu menyebabkan jeti sangkar ikan di laguna Sri Tujoh diserbu orang ramai sejak semalam lagi.

Tinjauan media mendapati jeti tersebut penuh sesak dengan orang ramai sejak awal pagi lagi dan ada yang sanggup menunggu bot-bot membawa  ikan ke darat.


Ada yang berebut-rebut untuk mendapat ikan siakap yang ‘nyawa-nyawa ikan’ apabila penternak melaung "lelong…lelong.. RM10 sekilo."

Penternak, Mohd Hasbullah Ahmad, 31, berkata, ikan siakap di dalam sangkar banyak yang mati akibat masalah air tercemar dan kekurangan oksigen berpunca daripada air banjir dari daratan yang mengalir ke laguna ini.

Menurutnya, tidak mahu mengalami kerugian yang besar, penternak di sini mula menjual ikan siakap dengan harga yang murah.


“Sejak tengahari semalam lagi kami lelong ikan di jeti ini, jual dengan harga RM10 sekilogram, ikan siakap yang saiz kecil pula dilelong dengan harga RM5 sekilogram dan ikan yang besar RM10 seekor.

“Harga biasa ikan siakap sekilogram adalah RM17,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com