Senjata Api: Seorang Wanita Antara Lima Yang Ditahan Polis

Asri (dua, kanan) melihat barang kes yang dirampas pada sidang media di IPD Kuala Muda, di sini.
SUNGAI PETANI - Sekumpulan penjenayah yang mempunyai kaitan dengan penyeludupan senjata api dari negara jiran berjaya dicekup oleh anggota polis dalam satu serbuan ke atas sebuah bilik hotel di kawasan Taman Seri Penambang, Kuala Selangor, Selangor, 18 Januari lalu.

Tangkapan itu dibuat berdasarkan maklumat didedahkan oleh suspek dua lelaki yang sebelum ini ditahan oleh pasukan trafik dari Ibu Pejabat Daerah, Kota Setar, pada  7 Januari lalu, ketika melakukan sekatan jalan raya.

Dalam sekatan jalan raya itu, suspek terlibat ditahan bersama dua senjatapi dan dadah serta kenderaan curi jenis Honda Civic.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yussof berkata berikutan dari pendedahan tangkapan awal pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah Bersama JSJ Kota Setar dan JSP Bukit Aman membuat serbuan  itu.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis berjaya menahan seramai empat lelaki dan seorang perempuan berada di dalam bilik hotel tersebut dan  merampas sepucuk senjatapi jenis semi auto bersama peluru hidup.

"Semua tangkapan berusia 17 hingga 43 tahun yang berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur. Kesemua tangkapan berkenaan mempunyai rekod lampau kes samun, curi, pecah rumah dan dadah.

"Seorang daripada suspek yang ditahan merupakan penjenayah  dikehendaki.

Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjatapi tanpa lesen boleh dikenakan penjara selama 14 tahun dan enam sebatan.

"Turut disiasat  mengikut Seksyen 8 (A) Senjata 1960 iaitu memiliki peluru atau amunisi, jika sabit kesalahan yang membawa hukuman penjara sampai tujuh tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya," katanya, pada sidang media, di Ibu Pejabat Daerah Kuala Muda, di sini, semalam.

Justeru itu, beliau yakin tangkapan kedua itu akan membantu pihaknya membongkarkan banyak lagi kes dan membantu banyak lagi tangkapan akan dibuat.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com