Semak Samun Penuhi Makam Diraja Kampung Pisang Di Kanchut

Keadaan sebahagian pusara lama ditempatkan di kawasan itu. Gambar kecil: Wan Shamsuddin
ALOR SETAR - Tidak ramai penduduk tempatan menyedari kewujudan Makam Diraja Kampung Pisang, Kanchut, di sini, yang merupakan tempat bersemadi tokoh ternama Kedah.

Difahamkan, kubur lama berusia lebih 162 tahun dipercayai sejak zaman Sultan Ahmad Tajudddin Mukarram Shah (1854) dan Sultan Abdul Halim Shah (1882-1943).

Bagaimanapun, kedudukan tempat agak terpencil, ditambah lalang tinggi menutupi makam dipercayai membuatkan lokasi itu kian dilupakan masyarakat.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, terdapat lebih 100 makam ditempatkan di kawasan itu.

“Pada 1998, kami mendapati lebih 100 pusara dipercayai ada kaitan dengan istana ditempatkan di kawasan itu melalui beberapa kajian dilakukan PSMCK.

“Tiga pusara dengan batu nisan lengkap bertulisan jawi ditemui dalam kunjungan pertama pihak mereka pada 17 Jun 1998,” katanya.

Menurutnya, pusara itu milik Wan Aishah Wan Muhammad yang meninggal pada 1982, Wan Halijah Wan Muhammad meninggal pada 1894 dan satu pusara tanpa nama mencatatkan tarikh kematian 1917.

“Berdasarkan catatan Keluarga Keturunan Wan, Wan Muhammad Taib merupakan keturunan temenggong yang memegang gelaran Datuk Paduka Maharaja Temenggong Anggota Desa ketika zaman Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah.

“Melalui perkahwinan dengan isteri keduanya, mereka dikurniakan anak perempuan bernama Wan Aishah yang kemudiannya mendirikan rumah tangga bersama Tunku Abdullah,” katanya.

Wan Shamsudin berkata, pihak mereka menemui lima lagi pusara lama termasuklah seorang milik kanak-kanak selepas membersihkan semak samun dalam kaji selidik kedua pada 21 Jun 1998.

"Namun hanya satu kubur lama boleh dibaca tulisannya, iaitu pusara ahli keluarga pembesar Kedah ketika itu, Cik Ibni Penghulu Yusof yang meninggal dunia pada 1929.

"Penemuan kajian sedemikian menunjukkan makam itu menempatkan pusara milik golongan bangsawan, pembesar, tokoh ternama Kedah dan waris mereka," katanya.

Katanya, pihak mereka ada merancang membaik pulih makam namun ia didakwa terbantut, sekali gus mengharapkan pihak bertanggungjawab dapat meneruskan semula usaha itu.

Sebelum itu, Wan Shamsuddin berkata, pihak mereka pernah melakukan kaji selidik berkaitan peninggalan makam di Kampung Pisang kira-kira 28 tahun lepas pada 1989 bersama Muzium Negeri Kedah.

Tinjauan mendapati hanya beberapa pusara masih kelihatan, sementara sebahagian besar kubur lama rosak.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com