Sedang Tidur Ketika Rumah Dirempuh Lori Bawa Susu Getah

Fadzilah berada di hadapan rumahnya yang dirempuh lori tangki membawa muatan susu getah mengandungi ammonia.
JITRA - Sepasang suami isteri sedang tidur di ruang tamu, terkejut apabila rumah mereka dirempuh sebuah lori tangki membawa muatan susu getah campuran ammonia.

Fadzilah Ramli, 62, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika dia dan isteri sedang tidur di ruang tamu rumah mereka di Jalan Padang Sera Hosba, di sini, baru-baru ini.

Katanya, dia terjaga dari tidur setelah mendengar jeritan isteri, Hasna Ahmad, 57, yang terkejut setelah mendengar bunyi bising dari luar rumah.

“Saya bergegas bangun dan menyelamatkan isteri yang tidak dapat bergerak akibat menghidap penyakit angin ahmar,” katanya, kelmarin.

Menurutnya, tidak lama kemudian, dinding di kawasan ruang tamu itu runtuh dan Fadzilah mendapati sebuah lori tangki yang terbabas berada di luar rumahnya.

“Muatan susu getah yang dibawa lori terbabit tumpah dan memenuhi ruang dalam rumah saya.

“Ketika kejadian, tiga orang cucu saya berusia antara 5 hingga 14 tahun  sedang bermain di luar rumah, mujur mereka sempat melarikan diri,”katanya.

Menurutnya, dua motosikal yang berada di luar rumah turut terperosok di bawah lori tangki terbabit.

“Sehingga hari ini saya dan keluarga belum dibenarkan masuk ke dalam rumah berikutan kerja pembersihan masih belum selesai," katanya yang sudah 30 tahun menghuni rumah berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 6.25 petang.

“Setibanya di lokasi, pegawai bomba mendapati sebuah lori tangki yang membawa muatan susu getah mengandungi campuran ammonia terbabas dan melanggar sebuah rumah kampung.

“Kejadian terbabit menyebabkan berlaku tumpahan separuh daripada muatan susu getah terbabit ke dalam rumah dan kawasan sekitar,” katanya

Menurutnya, tindakan operasi pengungsian penduduk berhampiran dijalankan dan pegawai bomba menggunakan semburan air bagi menyahcemar bahan ammonia tersebut.

“Pasukan Hazmat turut diarahkan ke lokasi kejadian  dan tidak lama kemudian, pemilik Syarikat Kejora Indah Harmoni Sdn Bhd tiba di lokasi untuk mengambil alih kerja-kerja memindahkan bahan tersebut.

“Pemandu lori berkenaan iaitu seorang lelaki tempatan mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Jitra oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com