AddThis

"Saya Telah Memilih Pasukan Yang Tepat" - Zac Anderson


PEMAIN import baru Kedah, Zachary Anderson mengakui telah memilih pasukan yang paling tepat untuk beliau meneruskan karier profesional bola sepaknya dan berjanji akan memberikan yang terbaik buat skuad Helang Merah itu.

"Saya telah memilih pasukan yang tepat untuk meneruskan karier sebagai pemain bola profesional kerana Kedah memiliki begitu ramai pemain muda yang sudah menunjukkan bakat di atas padang," katanya kepada media baru-baru ini.

Pemain posisi pertahanan kelahiran Queensland, Australia itu menjelaskan kekagumannya melihat kesungguhan barisan pemain Kedah yang sentiasa berusaha untuk mendapatkan kemenangan ketika aksi Sumbangsih di Stadium Larkin, baru-baru ini.

Baginya, usaha daripada setiap pemain Hijau Kuning itu telah memberikan pesanan awal atau suntikan moral untuk dirinya bagi menggandakan usaha dalam perlawanan - perlawanan yang bakal ditempuhi nanti.

Selain itu, pemain berusia 26 tahun yang mesra dengan panggilan Zac Anderson mewakili Kedah untuk kali pertama sejak menyertai skuad Helang Merah ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menyaksikan pasukan kebanggaan anak negeri itu berjaya membawa pulang Piala Sultan Ahmd Shah ke bumi Darul Aman.

"Ini kerana saya kagum dengan sokongan daripada peminat di Larkin. Mereka mungkin lebih kurang 300 orang tetapi mampu bersorak sehingga kami berjaya bangkit pada separuh kedua untuk mencatatkan kemenangan," katanya lagi, memetik laporan mStar.

Kata Zac Anderson, beliau menjangkakan Kedah bukan saja hanya mampu membawa pulang Piala Sumbangsih, malah optimis untuk menggondol piala lain lagi untuk dibawa pulang ke negeri Jelapang Padi pada musim ini.

"Bukan setakat aksi Sumbangsih, saya yakin Kedah mampu menjulang lagi piala pada musim ini. Untuk itu saya akan memberikan yang terbaik demi kejayaan pasukan ini, sekali gus membalas budi baik majikan serta penyokong yang sentiasa memberi sokongan," katanya.

Zac Anderson merupakan pemain terakhir yang dipilih Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan pemain Korea, Bang Seung Hwan, bagi mengisi kuota pemain import Kedah sebelum temasya Liga Super bermula untuk musim ini. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com