"Sangat Malang Ada Tak Senang Pertemuan UMNO, PAS.." - Abdul Hadi


KUALA LUMPUR – “Sangat malang terhadap kalangan yang tidak senang dengan pertemuan dua parti UMNO, PAS dan NGO Islam berhubung Rang Undang-Undang 355,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, umat Islam negara ini akan sentiasa dianggap salah bila ada sebarang usaha untuk melaksanakan Islam di Malaysia walaupun atas kepentingan semua pihak. .

Jelas beliau, mereka yang menolak RUU 355 (pindaan Rang Undang-Undang 355 berkaitan Akta Mahkamah Syariah, Bidang Kuasa Jenayah 1965) sebenarnya mahu menghalang Islam kembali membangunkan umatnya.

Tambah beliau, perkara itu terbukti kerana mereka menolak RUU355 bukan kerana menentang cadangan pindaan akta sebaliknya menentang hukum Islam hudud, qisas dan takzir yang menjadi kebimbangan mereka.

“Sebenarnya, RUU 355 bertujuan memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana Islam adalah agama Persekutuan mengikut Perlembagaan Negara.

“RUU 355 juga dapat memperkenalkan sistem kehakiman Islam secara terperinci dan memperkenalkan konsep hukuman bertujuan mendidik bukannya mendera,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pakatan Harapan sebelum ini membantah usaha PAS meminda Akta Mahkamah Syariah kerana mendakwa ia strategi halus parti itu untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Pakatan Harapan yang diketuai DAP dan dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Parti Amanah Negara (PAN) turut mendakwa pindaan itu bakal mengundang bias kepada golongan wanita serta mengelirukan bukan Islam di Malaysia.

Abdul Hadi seterusnya berkata, Pakatan Harapan tidak sepatutnya menggunakan alasan RUU355 akan mewujudan dua sistem mahkamah di negara ini.

Jelas beliau, tidak salah mempunyai dua sistem mahkamah atau lebih dalam beberapa aspek kerana perbezaan agama dan budaya yang tidak harus dipaksa.

Sebagai contoh, kata beliau, undang-undang keluarga adalah berbeza diantara penganut Islam dan bukan Islam, malah sesama bukan Islam juga tidak sama agama mereka.

“Peraturan restoran Islam dan bukan Islam juga boleh berbeza kerana hukum halal dan haram yang tidak boleh dipaksa terhadap bukan Islam dan undang-undang pusaka turut berbeza.

“Ada juga perkara yang tidak boleh dibezakan undang-undangnya seperti undang-undang jalanraya kerana tidak masuk akal kalau dibezakan. Maka janganlah kita kelirukan akal kerana perkara yang berbeza yang dapat diselesaikan melalui dua sistem mahkamah,” katanya. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com