Sambutan Tahun Baru Cina Tidak Bererti Tanpa Keluarga

Gambar Hiasan
 KUALA LUMPUR – Perayaan Tahun Baharu Cina semalam yang sepatutnya dirai penuh kemeriahan dan ceria, kini tidak lagi dirasai Tan Teng Huat, penghuni Pusat Transit Gelandangan di Bulatan Pahang di sini.

Katanya perayaan itu tidak lagi membawa sebarang makna setelah kematian ibu bapanya lapan tahun lepas.

“Sejak ibu dan ayah tiada, saya tidak lagi berjumpa dengan adik-beradik. Lagipun mereka semua sudah berkeluarga dan saya berseorangan tinggal di sini, tiada isteri dan anak.

“Saya memang rindu nak berjumpa dengan adik-beradik dan sambut perayaan ini bersama mereka. Namun saya jenis tidak mahu menyusahkan keluarga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Institut Onn Ja’afar (IOJ) di pusat transit itu.

Sambil mengalirkan air mata, Tan berkata dia terpaksa bekerja 24 jam sehari sebagai penjaga parkir berhampiran pusat transit itu untuk menyara diri.

Bagi Yong Yeng Hoi, 45, kesedihannya sedikit terubat menerusi sambutan Tahun Baharu Cina di pusat transit yang dihuninya sejak dua bulan lepas.

“Sudah tiga tahun saya tidak berjumpa dengan keluarga kerana ada krisis dengan mereka,” kata bekas tukang masak itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IOJ, Charles Mohan berkata sambutan Tahun Baharu Cina itu bertujuan memberi peluang kepada golongan gelandangan dan kanak-kanak kurang bernasib baik merasai semula kemeriahan perayaan berkenaan.

Beliau berkata majlis yang dihadiri kira-kira 500 gelandangan itu turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Yayasan Chow Kit dan Hotel Park Royal Kuala Lumpur. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com