Remaja Lemas Tergelincir Ke Sungai Kelantan


TUMPAT – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dikhuatiri lemas selepas dikatakan tergelincir ke dalam Sungai Kelantan di Kampung Laut, di sini petang semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Pegawai Bomba Kanan Ayub Mahmud berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan remaja itu, Wan Rostam Danaeil Wan Roszan pada pukul 5.34 petang.

“Operasi mencari masih dijalankan walaupun menghadapi keadaan cuaca kurang baik serta arus sungai yang deras,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bapa remaja itu, Wan Roszan Wan Abd Majid, 47, berkata anaknya dikatakan bermain di kawasan berkenaan bersama beberapa rakan sebelum tergelincir ke dalam sungai lalu dihanyutkan arus deras.

Beliau berkata penduduk kampung yang melihat kejadian itu memaklumkan kepada isterinya yang mengusahakan gerai menjual pisang goreng berdekatan kawasan berkenaan.

Mangsa adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut dan merupakan anak ketiga daripada lima beradik.

“Saya harap usaha mencari yang dijalankan pihak berkuasa akan berhasil,” katanya di lokasi kejadian. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com