Pra-Musim: Kedah Kekal Rekod Tanpa Kalah 4 Perlawanan Berturut-Turut

Fakri (dua kanan) terus membuktikan sentuhannya sebagai penyerang tempatan antara yang perlu diberikan perhatian pada musim ini. - FOTO AHMAD ZAKI OSMAN
Pasukan Hijau Kuning masih kebal mengekalkan rekod tanpa kalah pada aksi pra-musim 2017 bagi empat perlawanan berturut-turut apabila menewaskan PDRM 4-1 di Stadium Darul Aman, semalam.

Bermula seimbang di kedua belah pasukan, Helang Merah terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal pasukan pelawat pada minit ke- 28 menerusi pemain importnya, Konate, hasil kealpaan barisan pertahanan Kedah.

Bagaimanapun, skuad Hijau Kuning itu kembali bangkit menjaringkan gol penyamaan 1-1 menerusi Baddrol Bakhtiar selepas berjaya memanfaatkan hantaran Liridon Krasniqi pada minit ke-52, separuh masa kedua.

Selang tujuh minit kemudian, Baddrol meneruskan rentak keyakinannya meletakkan Hijau Kuning di hadapan 2-1 selepas menerima hantaran menarik penyerang baru import Kedah, Ken Ilso Larsen.

Momentum Kedah semakin memuncak untuk terus menguasai perlawanan dan pemain gantian, Fakri Saarani terus selesa meletakkan Kedah 3-1 di hadapan pada minit ke-69 selepas menerima hantaran pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu, Rizal Ghazali.

Fakri melengkapkan malam cemerlang Hijau Kuning apabila meledakkan gol kemenangan 4-1 seminit kemudian selepas mengelecek dua pertahanan PDRM sebelum menewaskan penjaga gol pelawat buat kali keempat.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, beliau melihat peningkatan ketara dari sudut persefahaman dan keyakinan pemain tempatan, namun menjelaskan bahawa keputusan bagi semua perlawanan yang dilalui mereka tidak menjadi fokus utamanya. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com