Polis Rampas Pelbagai Dadah Bernilai RM76,200


JOHOR BAHRU – Polis merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM76,200 selepas menahan seorang lelaki dalam keadaan yang mencurigakan di sebuah pangsapuri di Larkin, dekat sini, 30 Disember lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), ACP Sulaiman Salleh berkata hasil pemeriksaan polis terhadap lelaki berusia 38 tahun itu, menjumpai dua bungkus plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis ketamin seberat 98 gram bernilai RM4,500 dan sebuah kunci kenderaan.

Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan suspek turut menemui 134 gram dadah jenis ketamin, 1,199 biji pil ekstasi, 20 biji pil Eramin 5 dan 74 gram daun tembakau rokok yang dicampur dengan dadah.

“Anggaran harga pasaran (dadah) yang dijumpai di dalam kereta tersebut bernilai RM71,700 dan pihak kita juga merampas wang tunai sebanyak RM47,830 menjadikan jumlah hasil rampasan termasuk kenderaan suspek bernilai RM269,530,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Bandar Dato’ Onn di sini, petang semalam.

Katanya, lelaki terbabit dipercayai bertindak sebagai pengedar dan mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 373(1)(a) Kanun Keseksaan kerana membantu menjalankan rumah pelacuran.

“Suspek juga didapati positif dadah jenis Amphetamine ketika ditahan. Dia juga dipercayai seorang ahli sindiket dan siasatan masih diteruskan bagi mengesan lain-lain suspek yang terlibat dalam aktiviti berkenaan,” tambah Sulaiman.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) ACP Mohd Taib Ahmad berkata pihaknya merampas dadah jenis ganja mampat seberat 1,011 gram yang dianggarkan bernilai RM3,500, malam kelmarin.

Dalam satu kenyataan berasingan, beliau berkata pihaknya menahan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki oleh seorang lelaki dan seorang wanita disyaki pengedar dadah di Jalan Persiaran Tanjung Tampoi, Johor.

Hasil pemeriksaan polis, telah merampas dadah berkenaan yang didapati dalam kereta yang dinaiki kedua-dua suspek berkenaan.

Menurutnya, suspek lelaki yang berumur 50 tahun itu mempunyai lima rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan di bawah dadah dan jenayah selain positif dadah hasil ujian saringan.

“Manakala suspek perempuan berusia 32 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan kita percaya dadah yang dirampas akan diedarkan di sekitar kawasan Tampoi,” kata beliau.

Mohd Taib berkata jumlah dadah yang dirampas dianggarkan dapat menampung bekalan kira-kira 2,000 penagih sehari dan kedua-dua suspek yang ditahan, tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua suspek akan ditahan direman untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com