Polis Kesan Seorang Lagi Pelajar Rakam Dalam Kain Guru


KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lagi pelajar berhubung kes merakam dan menyebar video bahagian dalam kain baju kurung seorang guru wanita pada 16 Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Sukri Kaman berkata pelajar tingkatan tiga itu dipercayai berada di Johor.

“Pelajar ini dipercayai rakan pelajar yang terlibat dan kita juga sedang mengesan individu lain yang bertindak menyebar serta melakukan perkara ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Video berdurasi tujuh saat itu dirakam menggunakan telefon bimbit pada 8.30 pagi ketika guru Bahasa Inggeris berkenaan sedang membalut meja pelajar di dalam kelas.

Sabtu lepas, polis mengenal pasti lima pelajar tingkatan tiga sekolah menengah di ibu negara yang merakam dan menyebarkan video bahagian dalam kain baju kurung seorang guru wanita.

Mohd Sukri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mengaibkan kehormatan seseorang dan berkelakuan tidak senonoh. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com