PM Bayangkan PRU-14 Mungkin Bukan Tahun Ini

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak akan diadakan pada tahun ini.

Beliau berkata, penetapan tarikh mesyuarat Umno peringkat cawangan yang dijadualkan pada 17 Mac hingga 30 April ini manakala mesyuarat bahagian pada 7 Julai hingga 26 Ogos ini tiada kaitan dengan PRU-14.

"Tak ada. Tahun ini adalah tahun biasa. Jadi kita buat mengikut kesesuaian. Kita ada Hari Raya, Ramadan, Sukan SEA dan sebagainya. Ini tarikh yang sesuai (untuk adakan mesyuarat)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn pada Jumaat.

Ketika ditanya bilakah spekulasi mengenai PRU-14 akan ditamatkan, Najib dalam nada berseloroh berkata, itu soalan spekulasi.

Sementara itu, Najib turut enggan mengulas lanjut mengenai kerjasama Umno dan PAS dalam menghadapi PRU-14.

"Tak perlu setakat ini. Kita kerjasama atas isu kepentingan ummah seperti isu Rohingya, kita dapat berada di pentas yang sama dan saya diberitahu pelancaran kapal Flotilla pada 3 Februari ini, Insya-Allah PAS akan hadir.

"Jadi maknanya kita boleh bekerjasama atas isu yang menyentuh soal ummah, soal Islam dan sebagainya. Soal PRU-14 itu lain cerita, ini soal ummah, rang undang-undang kita bincang sama-sama. Jadi pilihan raya lambat lagi," katanya.

Mengikut rekod, 2018 adalah tempoh berakhirnya penggal lima tahun pentadbiran selepas PRU-13.

Ia bermakna, PRU boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com