Petani Di Hutan Kampung Dakwa Tindakan Pemaju Punca Tanaman Rosak

Sawah petani sering dimasuki air disebabkan tiada sistem perparitan.
ALOR SETAR - Beberapa  petani di Hutan Kampung kecewa dengan tindakan pemaju perumahan yang enggan membina perparitan hingga menyebabkan air hujan melimpah masuk ke sawah mereka.

Petani mendakwa sejak kerja menambak tanah dilakukan bagi projek perumahan, air hujan sering masuk ke sawah  hingga  menyebabkan mereka mengalami kerugian apabila hasil tanaman  rosak.

Shaharudin Yahya,50, berkata, sejak kerja menambak dilakukan, sawah petani di situ menjadi rendah hingga setiap kali hujan air akan masuk melimpah ke sawah mereka.

Katanya, pemaju sepatutnya membina perparitan di tepi jalan yang membahagikan sawah dengan tapak perumahan itu.

“Bagaimanapun pihak berkenaan gagal membina perparitan itu. Kami bimbang jika air masuk terlalu banyak ke sawah, padi yang akan dapat dituai beberapa minggu lagi akan rebah dan menjejaskan hasil kami pada tahun ini,” katanya.

Menurut Shaharudin, tindakan pemaju itu juga menyebabkan rakannya tidak dapat mengusahakan padi pada tahun ini kerana tidak mempunyai saliran bagi air keluar masuk ke  tali air.

Tindakan pemaju menambak tanah hingga menutup saliran selama ini menyebabkan rakannya itu tidak dapat membajak hinggalah air bertakung  dan menjadi tempat pembiakan nyamuk .

‘Oleh itu saya berharap pihak pemaju dapat membina perparitan supaya saliran air dapat keluar  ke tali air berdekatan.

"Mereka perlu bekerjasama dengan petani yang telah mengusahakan sawah di situ sejak  turun temurun lagi,” katanya.

Zulkifli Saad,50, pula berkata, tindakan pemaju menambak tanah hingga gagal membina perparitan menyebabkan tanah di situ semakin mendap.

Katanya, ini disebabkan kesan saliran air yang melimpahi jalan dan masuk ke sawah mereka. Kini jalan di situ juga semakin terhakis dan beberapa lopak turut terjadi dan jalan akan menjadi rosak.

“Semenjak jalan itu menjadi saliran air ke sawah, beberapa hakisan telah terjadi dan ini menyebabkan laluan itu semakin sempit. Jalan itu kini sering digunakan oleh pengguna pelbagai kenderaan  terutamanya pada waktu kemuncak .

“Saya bimbang jika sampai musim menuai nanti jalan itu akan menjadi rosak lebih teruk lagi apabila lori padi akan ke luar masuk untuk mengambil padi di kawasan itu.

"Oleh itu petani di sini berharap pihak yang berkenaan dapat mengatasi masalah itu sebelum  semakin serius lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Peladang Hutan Kampung A, Mohd Nasir Mokhtar berkata, pihaknya sudah pun berhubung dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) mengenai masalah itu.

Bagaimanapun difahamkan jalan itu kini bukan kuasa Mada tetapi hak milik Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com