Penyeludup Mercun "Kantoi" Lagi Dengan Kastam Kedah

Gambar Hiasan
BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah mematahkan dua percubaan menyeludup dan mengedar mercun serta bunga api dengan nilai keseluruhan RM255,195, masing-masing pada 3 dan 5 Jan lepas.

Pengarah Kastam Negeri, Johari Alifiah berkata, dalam serbuan 5 Jan lepas di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) di sini, pihaknya merampas 1,900 kilogram mercun dan bunga api pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM30,500 dengan nilai cukai RM17,995.

“Serbuan pukul 12.30 malam itu dilakukan ke atas tiga kenderaan jenis Proton Alza dan sebuah Proton Waja di mana keempat-empat kereta tersebut diletakkan di tepi jalan Lebuhraya Plus arah utara berdekatan dengan pintu sempadan.

“Selepas intipan selama dua jam, kami akhirnya menahan pemilik kenderaan tersebut yang merupakan seorang warga Thailand manakala tiga lagi adalah warga tempatan,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, dua hari sebelum itu, kastam turut merampas 270 kotak mengandungi mercun dan bunga api bernilai RM130,00 dengan nilai cukai dianggarkan RM76,700 di Changlun, di sini.

Johari berkata, rampasan itu dilakukan ke atas sebuah lori jenis Hicom berwarna putih sekitar pukul 7.55 malam di Kampung Darat, Changlun menghala ke Bukit Wang.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori warga tempatan berusia 35 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen bagi membuktikan mercun dan bunga api yang dibawanya sudah diluluskan kastam,” katanya.

Menurut Johari, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu mengangkut barangan larangan/belum lulus kastam manakala kesemua suspek dibebas dengan bon jaminan. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com