Penjawat Awam Perasuah Perosak Imej Kerajaan?

ADA 1.4 juta penjawat awam di negara ini. Puratanya baik dan berhemah. Ini intro paling selamat apabila mahu menyentuh isu rasuah di kalangan penjawat awam.

Sektor perkhidmatan awam sudah lama hidup dalam sindrom penafian apabila bercakap soal rasuah.

Perkhidmatan awam akan menyerang media massa sekiranya isu laporan penyiasatan mengenai gejala rasuah didedahkan.

Mereka tidak akan menyiasat. Mereka akan menafikannya. Malah, sebaliknya secara agresif akan melancarkan perang terhadap media massa.

Laporan kewartawanan penyiasatan akan dianggap berniat jahat, bias atau terdesak menjual berita murahan. Semua tindak balas ini reaksi normal.

Kes Sabah Watergate pada Oktober lalu yang membabitkan RM65 juta duit rakyat adalah kemuncak terhadap sikap penafian dalam perkhidmatan awam.

Ia bukan kes rasuah babitkan ratusan atau ribuan ringgit. Ia kisah kemampuan penjawat awam melesapkan puluhan juta ringgit duit rakyat!

Mahukah ketua-ketua jabatan menafikannya lagi? Bukankah yang dituduh dan disyaki dalam kes-kes ini adalah penjawat tertinggi juga?

Sebenarnya, dua kes berprofil tinggi ini hanyalah sebahagian harga yang perlu dibayar akibat budaya penafian sekian lama.

Hari ini, kalau media massa mendedahkan isu rasuah masih berleluasa dalam perkhidmatan awam: Apakah ketua-ketua jabatan atau kementerian masih lagi agresif untuk bertindak balas dengan melabelkan media massa sebagai penjahat persepsi?

Zaman penafian sudah berlalu. Anda boleh menggertak media massa. Tetapi sekarang zaman SPRM membongkar semuanya.

Kalau dulu wartawan penyiasatan sekadar mendedahkan gejala rasuah di peringkat bawahan, kini perkhidmatan awam harus mengakui: Kekotoran berada di peringkat tinggi.

Top Gun sudah diheret dan disiasat. Angka korupsi babitkan puluhan juta ringgit membuatkan masyarakat berasa jijik.

Kepada ketua-ketua jabatan: Hentikan sindrom penafian. Siasat jabatan anda sekarang. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com