AddThis

Pengutip Derma Warga Asing Cetus Gusar Pada Pengutip Dana Di Kulim

Zulkifli menunjukkan pengutip dana masjid yang dipercayai tidak mendapat kebenaran.
KULIM - Kebanjiran pengutip derma warga asing di daerah ini menggusarkan pencari dana yang mendapat kelulusan jabatan agama.

Pengutip dana, Zulkifli Salleh, 44, berkata, kehadiran ramai warga asing yang menggunakan kaedah mencari dana untuk membina sekolah dan masjid di negara mereka, sangat mencurigakan.

“Mereka berpakaian seperti orang alim atau berjubah dan memegang tabung ditulis derma masjid di negara mereka.

"Di sini saya nampak banyak dari Thailand. Terlalu ramai terutama di pekan sehari Padang Serai dan pasar malam di sekitar Kulim. Semua guna untuk cari dana pembinaan masjid atau surau,” katanya.

Menurut Zulkifli, usaha untuk mendapatkan kepastian mengenai pengutip derma terlibat sudah dilakukan dengan menghubungi pejabat agama, selain memeriksa sendiri dokumen mereka.

“Saya ada periksa fail dokumen yang mereka bawa, memang tak ada lesen kebenaran langsung daripada pejabat agama negeri atau daerah. Bila tanya, mereka kata dalam proses dapatkan.

“Bila saya hubungi pejabat agama pula, mereka maklumkan memang tak ada bagi kebenaran atau lesen kepada warga Thailand terlibat. Lebih mencurigakan, selepas habis aktiviti kutip dana, tingkah laku mereka seolah-olah seperti orang lain. Dengan rambut panjang dan tidak terurus,” katanya.

Tambah Zulkifli, kehadiran ramai warga asing menjalankan aktiviti mengutip derma itu turut memberi kesan kepada pencari dana berlesen tempatan.

“Kami yang ditugaskan cari dana melalui aktiviti turut menghadapi masalah. Bila dana tidak mencukupi dalam tempoh ditetapkan, menyebabkan kelewatan dalam pembinaan surau, masjid dan sekolah.

“Orang ramai yang menderma kepada mereka juga kemungkinan ditipu. Wang yang sepatutnya digunakan untuk membantu, disalahgunakan warga asing ini,” katanya.

Justeru, Zulkifli menggesa pihak terlibat agar mengambil tindakan segera dan sentiasa memantau aktiviti pengutip derma terutama dalam kalangan warga asing.

“Saya harap pihak berkaitan dapat ambil tindakan segera dan buat pantauan. Jika dibiarkan, saya khuatir lebih ramai warga asing ambil kesempatan mencari duit secara mudah dengan berselindung di sebalik kegiatan ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com