Pengasas PAS Kedah: TG Othman Al-Yunusi Asalnya Pejuang Bersama UMNO


PAS Kedah telah memulakan sejarahnya apabila satu perjumpaan umat Islam diadakan di Madrasah an-Nahdhah, Bukit Besar pada 6 September 1952 dan berhasil menubuhkan PAS Cawangan Bukit Besar, cawangan PAS yang pertama di Kedah. Mudir Madrasah an-Nahdhah, Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi atau lebih terkenal dengan panggilan Lebai Pak Man Bukit Besar telah dipilih sebagai Yang Dipertua PAS Cawangan Bukit Besar yang pertama. Lebai Pak Man menjadi tokoh PAS terulung di Kedah pada peringkat awal penubuhannya di samping Tuan Guru Haji Hussein Che Dol (Naib Yang Dipertua Agung PAS) dan Tuan Guru Haji Yahya Junid (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS).

Lebai Pak Man atau nama sebenarnya Othman bin Yunus bin Salleh bin Mustafa telah dilahirkan pada tahun 15 Mei 1904 di Sanglang, Perlis, sedangkan ayahnya, Tuan Guru Haji Yunus al-Kelantani adalah murid Tokku Paloh dan Tuan Hussin Kedah yang berasal dari Mentuan, Kelantan tetapi membuka pusat pengajian pondok di Oran, Mata Ayer, Perlis. Lebai Pak Man mendapat pendidikan pondok dengan ayahnya selama enam tahun sebelum berhijrah ke Kelantan untuk berlajar di Pondok Masjid Muhammadi selama 14 tahun sejak 1917. Antara guru beliau di sini termasuklah Tok Kenali, Mufti Haji Wan Musa, Tuan Guru Haji Ahmad Manan Hakim, Tuan Guru Haji Yaakob Legor dan Tuan Guru Haji Ali Salahuddin Pulau Pisang.

Beliau kembali ke Perlis pada 1931 dan mengajar Pondok Oran. Atas nasihat ayahnya, beliau kembali ke Kelantan untuk berguru di Pondok Kenali tetapi ulamak tersohor itu telah meninggal dunia pada 1933. Beliau kemudiannya berguru di Madrasah Ahmadiyah, Bunut Payung dengan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Ahmad. Beliau turut berguru dengan Mufti Haji Ahmad Maher, Mufti Haji Nor Penambang, Tuan Guru Haji Yaakob Kecik dan Tok Khurasan. Di samping itu juga, beliau mula menjadi guru pembantu atau kepala telaah di Pondok Bunut Payung sehingga berakhir Perang Dunia Kedua. Setelah itu, beliau mengasaskan Pondok an-Nahdhah, Bukit Besar pada 1946 yang dipimpinnya sehingga akhir hayat.

Pada awal penglibatan beliau di Pondok an-Nahdhah selepas Perang Dunia Kedua, para ulamak Kedah yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Hussein Che Dol telah menubuhkan Persatuan Ulamak Kedah (PUK) pada 1946 di mana beliau turut terlibat, tetapi tidak aktif walaupun pada awalnya beliau terlibat dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Pun begitu, beliau adalah antara ulamak yang lantang menentang Malayan Union melalui Umno. Atas pengaruh Tuan Guru Haji Hussein Che Dol, beliau turut terlibat dengan MATA dan Hizbul Muslimin antara 1947 hingga 1948, tetapi dalam masa yang sama beliau memegang beberapa jawatan dalam Umno Kedah sehingga 1952.

Setelah PAS ditubuhkan pada 23 Ogos 1951, beliau menjadi antara ahli PAS terawal di Kedah bersama Haji Ahmad Shukri dan mereka menjadi pengasas PAS Kedah dengan tertubuhnya PAS Cawangan Bukit Besar pada 6 September 1952. Selain menjadi Yang Dipertua PAS Cawangan Bukit Besar, Lebai Pak Man turut dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah/Perlis pada 1954, dan memimpin PAS Kedah sehingga 1969. Setelah itu, beliau dilantik pula sebagai Penasihat PAS Kedah. Antara jawatan lain yang dipegang oleh beliau ialah Bendahari PAS Kedah dan Ahli Jawatankuasa Nazir Bangunan PAS Kedah. Pada 1964, beliau telah dicalonkan oleh PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum tetapi tewas.

Beliau juga aktif dalam Dewan Ulamak PAS Pusat dan terlibat dengan Jawatankuasa Tarjih Dewan Ulamak PAS Pusat dalam menentukan hukum PAS menyertai Kerajaan Campuran dengan Perikatan pada 1973. Dalam mesyuarat Jawatankuasa Tarjih itu pada 14 Disember 1972, Lebai Pak Man berpegang bahawa kerjasama dengan Perikatan adalah haram. Oleh kerana keputusan muzakarah itu akhirnya mengharuskan kerjasama tersebut, sejak pertengahan 1970-an, beliau tidak lagi aktif dalam dunia kepartian, sebaliknya memberi perhatian untuk membangunkan Pondok an-Nahdhah.

Setelah lebih 40 tahun berjuang menegakkan agama melalui dunia pendidikan pondok, politik kepartian dan gerakan dakwah, pada pertengahan Jun 1987, Lebai Pak Man telah jatuh sakit kerana usia tuanya. Akhirnya beliau meninggal dunia pada 1 Julai 1987 dalam usia 83 tahun dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, Bukit Besar, Kedah. PAS Kedah dalam menghargai perjuangan beliau telah menamakan masjid dalam Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut dengan nama Masjid Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com