Peneroka Felda Gunung Bongsu Terkejut Jumpa Bom Mortar

Bom mortar sebesar motor air mineral telah ditemui seorang peneroka di Kampung Padang Patung.
KULIM - Seorang peneroka Felda Gunung Bongsu terkejut apabila menemui sebutir bom jenis mortar ketika meratakan tanah di kebunnya dekat Kampung Padang Patung, baru-baru ini.

Hashim Nayan, 70, berkata kira-kira jam11.30 pagi dia le kebun untuk melihat anak sawit yang baru ditanam setelah hujan turun dengan lebat pada sebelah malam.

"Saya baru saja tanam semula kelapa sawit di sini lebih kurang 12 hari, kebetulan malam sebelum jumpa bom itu hujan lebat saya nak pergi tengok lah keadaan anak sawit.

"Banyak anak sawit condong akibat hujan, jadi saya nak ratakan dan mendapkan semula tanah, baru beberapa pokok saya ternampak ada benda seperti besi buruk di tepi tebing," katanya.

Katanya, dia cuba untuk mengangkat objek tersebut namun gagal kerana agak berat dan mengambil keputusan untuk membersihkan kawasan sekitar.

"Saya nak cuba angkat tapi tak larat, jadi saya bersihkan kawasan sekitar buang daun-daun dan kayu mati yang dilonggokkan di situ.

"Bila sudah bersih saya nampak seperti besi itu bom yang saya tengok di televisyen, saya tak ada rasa takut meletup sangat pun ketika itu kerana di sini sudah ramai peneroka pernah terjumpa bom ketika buat aktiviti tanam semula," katanya.

Hashim berkata kerana bimbang dengan keadaan bom tersebut dia telah memberitahu kepada Ketua Rancangan Felda untuk tindakan lanjut.

"Saya pergi beritahu ketua rancangan ada jumpa bom, dalam jam 11.30 saya pergi semula ke sana bersama dia untuk pastikan dan laporan polis telah dibuat pada jam 8.30 malam, semalam," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim DSP Barudin Waso mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan tersebut.

"Ada aduan penemuan satu ketul besi padat yang menyerupai bom oleh seorang peneroka.  Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan IPD Kulim telah ke lokasi dan mendapati terdapat sebutir bom jenis mortar bersaiz 61milimeter di situ.

"Tindakan memusnahkan telah berjaya dijalankan yang mengambil masa lebih kurang 35minit, tiada kemalangan serta kerosakan harta benda berlaku," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com