Penduduk Pendang Dakwa Air Tak Ada, Tapi Bil Melambung

Kholijah menunjukkan situasi gangguan air dihadapi penduduk.
PENDANG - Sudah hampir dua tahun sebahagian penduduk Kampung Sungai Rotan, di sini terpaksa berdepan masalah gangguan bekalan air.

Wakil penduduk, Nordin Abdul Rahim, 53, berkata, mereka bukan sahaja berdepan masalah tiada air, malah terpaksa juga membayar bil yang tinggi.

“Walaupun tiada air, bil setiap bulan mencecah hampir puluhan ringgit.

“Keadaan ini membebankan kami yang rata-ratanya berpendapatan rendah,” katanya.

Menurutnya, pada 2014 air ada tanpa sebarang masalah, tetapi penghujung tahun bekalan air mula terganggu.

"Kami tak tahu apa punca sebenar yang berlaku dan bila tanya pihak berwajib, mereka kata kami tinggal di kawasan tinggi.

"Kami tak boleh terima alasan itu kerana sebelum ini rumah kami berada di kawasan sama tapi tak pernah ada masalah air," katanya.

Nor Hayati Ramli, 48, pula berkata, masalah akan menjadi lebih sulit apabila berlakunya kematian.

Menurutnya, sudah lama mereka bersabar dengan masalah ini.

“Setiap malam saya akan tunggu air untuk tadah dan basuh baju sekitar jam 3 pagi. Rasa tertekan sangat sebab keesokan harinya perlu bekerja pula.

“Untuk air minuman kami akan beli, kerana air yang ada pada tengah malam tak berapa bersih,” jelasnya.

Manakala Kholijah Ismai, 68, berkata, dia akan membeli air minuman di kedai dengan bantuan anaknya.

“Mak cik dah tua, jalan pun bongkok-bongkok, mana larat nak tadah air tengah malam. Itu pun kadang ada kadang tak ada,” katanya.

Menurutnya, lori Syarikat Air Darul Aman (Sada) tidak pernah datang untuk menyalurkan air.

“Pelbagai pihak sudah kami adukan perkara ini namun masih tidak ada penyelesaian,” katanya.

Penduduk, Zamri Zainol, 41, berkata, bil air rumahnya mencecah RM35 sebulan sedangkan air tidak pernah ada.

“Saya tak puas hati. Kalau air ada bil tinggi boleh terima akal lagi. Tetapi air tak ada bil pula tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Sada, Rofedi Sulaiman berkata, Kampung Sungai Rotan menerima air terawat dari loji rawatan Jenun melalui paip agihan dari kolam imbangan Bukit Nibong.

“Sebahagian rumah di kampung tersebut berada di tempat tinggi seperti jalan Charok Manggis dan ini menyebabkan gangguan bekalan air apabila tekanan air rendah dari loji.

“Namun begitu, ketiadaan air ini juga disebabkan oleh kerana penutupan paip agihan untuk memberi laluan kerja-kerja pembaikan paip pecah bagi menyelesaikan masalah gangguan bekalan di tempat tinggi,” katanya.

Rofedi berkata, Sada Pendang akan membuat agihan baru minggu ini.

“Kita minta penduduk yang memerlukan air boleh hubungi Sada,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com