Penduduk Bimbang Lori Balak Lebih Muatan Di Sik

Lori balak dikesan melalui jalan di hadapan sebuah sekolah.
SIK - Lori balak yang membawa lebih had muatan dan tiada ciri-ciri keselamatan mengundang ancaman keselamatan kepada penduduk dalam daerah ini.

Penduduk, Halimatun Azik, 26, dari Kampung Kerawai berkata, nyawa pengguna jalan raya terancam setiap kali berselisih dengan lori berkenaan.

"Balak yang penuh atas lori hanya diikat dengan rantai tanpa ada pengadang di kiri dan kanan.

"Setiap kali berselisih saya rasa takut kalau kayu itu akan jatuh dan menimpa pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Menurutnya, kehadiran lori balak yang tidak dilengkapi ciri keselamatan di beberapa laluan utama dan kampung tidak sewajarnya berlaku.

“Tidak wajar lori-lori balak yang berbahaya ini dibenarkan lalu di jalan utama khususnya di Pekan Sik.

"Tambahan pula Pekan Sik adalah lokasi tumpuan penduduk dan risiko berlakunya kemalangan sangat tinggi,” katanya.

Peniaga, Zainab Ahmad, 28, dari Kampung Belimbing berkata, lebih kurang enam lori balak melebihi had muatan akan melalui jalan utama dalam satu masa.

“Sekali lalu lebih kurang enam lori balak akan gunakan jalan raya dalam satu-satu masa. Lori -lori ini akan berulang alik mengambil balak bermula Ahad hingga Khamis setiap minggu.

“Waktu kemuncak lori-lori ini menggunakan jalan raya kebiasaannya pada sekitar jam 12 hingga satu tengah hari. Waktu itu juga para pelajar pulang dari sekolah sekali gus membahayakan nyawa mereka yang menunggang motosikal dan basikal,” katanya.

Menurutnya, keselamatan dirinya turut terancam berikutan gerai pisang gorengnya berhampiran dengan laluan utama.

“Risau jika ada kayu-kayu balak yang terjatuh dan mengenai saya atau peniaga lain. Sebelum ini pernah berlaku dua lori balak terbalik di dalam kawasan Sik Dalam.

“Kejadian pertama berlaku lebih kurang November tahun lalu dan kejadian kedua lebih kurang dua minggu lalu. Dibimbangi kejadian sama berulang sekali lagi,” katanya.

Zubir Ahmad, 36, dari Pekan Sik pula berkata, pihak berkuasa didakwa sukar mengambil tindakan ekoran kerana ada tonto mengawasi pergerakan lori.

“Masalah ini sukar untuk diselesaikan pihak berkuasa sebab ada tonto yang selalu mengintip pergerakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Pemandu-pemandu lori ini bebas membawa balak melebihi muatan tanpa rasa takut. Mereka juga sering pandu lori melebihi had laju terutamanya di kawasan yang sudah ditetapkan had kelajuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Parlimen Sik, Mohd Najmi Ghazali berkata, Kampung Balong Ayam, Felda Teloi Timur, Kampung Paya Terendam dan beberapa kampung lain dikesan dilalui lori balak yang melebihi muatan.

“PAN Sik menerima aduan daripada ramai penduduk yang semakin bimbang dengan keselamatan mereka. Isu ini perlu diselesaikan dengan segera.

“Pihak berwajib digesa memantau setiap lori yang keluar masuk dari daerah ini. PAN Sik khuatir lori-lori berkenaan tidak mempunyai lesen, permit, insurans dan sebagainya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com