AddThis

Peminat Bola Sepak P.Pinang Bangga Dengan Faiz Subri


GEORGE TOWN – Rata-rata peminat bola sepak Pulau Pinang melahirkan rasa gembira dan bangga dengan kejayaan Mohd Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk jaringan gol paling cantik 2016 di Zurich, awal pagi ini.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Pulau Pinang The Ultras Panthers, Muhammad Asyraf Azmi, 27, berkata Mohd Faiz telah mengharumkan nama negara di persada bola sepak dunia melalui jaringannya yang menakjubkan.

“Sebagai presiden kelab dan orang yang selalu memerhatikannya semasa membuat latihan di padang, saya amat bangga dan berterima kasih kepada beliau yang telah menaikkan nama negara kita ke pentas dunia.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong yang tidak jemu mengundi beliau sehingga mengangkat beliau sebagai pemenang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Berkongsi rasa bangga dan gembira atas kejayaan itu, Tokoh Emas Remaja Perdana Belia Negara 2016, Hazrul Hafizi Abd Halim, 30, berharap Mohd Faiz akan terus cemerlang dan tidak melupakan insan-insan yang menjadi tulang belakang di sebalik kejayaannya itu.

Peminat tegar bola sepak Mohamad Syazwan Zamzuri, 23, pula berkata beliau kagum dengan teknik yang digunakan Mohd Faiz ketika membuat jaringan itu melalui sepakan percuma di luar kotak penalti.

“Sepakan percuma yang Faiz guna ialah teknik ‘Knuckleball’ di mana situasi macam tu memang penjaga gol susah nak agak pergerakan bola, malah penjaga gol bertaraf dunia pun boleh alami kesukaran hendak menangkis sepakan itu,” katanya yang sentiasa mengikuti perkembangan bola sepak dalam dan luar negara.

Norul Hidayah Ab Aziz, 30, berkata beliau terpegun dengan kejayaan Mohd Faiz itu kerana bukan senang untuk tercalon di pentas dunia walaupun melalui undian secara online.

“Saya tidak melepaskan peluang mengundi beliau,” kata pekerja swasta itu.

Siti Munirah Baharom, 30, juga pekerja swasta yang turut mengundi Mohd Faiz berkata jaringan Mohd Faiz itu amat cantik dan Kementerian Belia dan Sukan sepatutnya memberi bonus kepada pemain bola sepak Pulau Pinang itu.

Mohd Nor Ezrie Ahamad Nordin, seorang kakitangan kerajaan pula berkata sebagai anak Malaysia, beliau berasa bangga atas kejayaan Mohd Faiz yang merupakan rakyat Malaysia pertama mendapat anugerah dalam Puskas.

“Anugerah Puskas ini anugerah peringkat antarabangsa dan pemain-pemain yang menyertai (senarai pemenang terdahulu) semua pemain kelas tertinggi seperti Cristiano Ronaldo. Kejayaan Faiz Subri sangat hebat dan tidak mudah untuk dicapai,” kata peminat setia bola sepak itu.

Abdul Rahim Bukhari, seorang peniaga, berkata sebagai anak jati Pulau Pinang beliau berasa amat bangga dengan pemain yang mewakili negeri ini.

“Saya tak pernah tengok sesiapa pun yang menggunakan sepakan sebegitu dalam perlawanan bola sepak antarabangsa,” katanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com