Pelukis PM Berwajah "Badut" Berjaya "Lolos" Ke Luar Negara


SEORANG pereka grafik yang telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen gara-gara status twit menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya mendapat kebenaran untuk ke luar negara selepas dirinya dilarang berbuat demikian beberapa hari lalu.

Menerusi entri terbaru di laman Facebook Fahmi Reza, dia menyatakan berjaya mendapat pelepasan ke Taiwan selepas mencuba pelbagai ‘ikhtiar’.

“Atas usaha aku tak henti-henti cuba lawan ‘travel ban’ yang dikenakan ke atas aku dengan bermacam-macam cara sejak Khamis lalu, akhirnya kemenangan berpihak kepada aku.

“Sukses! Bye bye Najib, I’m flying to Taiwan. Nanti aku cerita. Sekarang nak naik pesawat,” tulisnya lima jam yang lalu.

Menurutnya, mesej di laman web Jabatan Imigresen menggesanya untuk merujuk kepada pejabat yang berhampiran iaitu UTC Pudu untuk meminta namanya dikeluarkan daripada senarai hitam.

Pelukis berusia 39 tahun itu difahamkan telah disenaraikan ‘dikehendaki’ oleh pihak polis dan larangan ke luar negara berkuat kuasa sejak 31 Mac tahun lalu.


Bagaimanapun pada Sabtu, dia menulis,  Inspektor R meletakkan namanya dalam senarai ‘dikehendaki’ kerana mereka mahu menyoal siasatnya tahun lalu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana dia berada di Thailand.

11 Mac lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah membuka siasatan terhadap Fahmi ekoran kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) gara-gara sebuah posting Twitter yang mengaibkan perdana menteri.  - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com