Peluang Pembangkang Di Kedah Tipis - Penganalisis Politik


ALOR SETAR - Peluang pihak pembangkang untuk cuba menewaskan Barisan Nasional (BN) di Kedah dijangka sebagai tipis berdasarkan pola pengundi masyarakat di negeri itu dilihat tidak akan mengalami banyak perubahan.

Pensyarah Kanan yang merupakan bekas Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, pola sokongan masyarakat Melayu di luar bandar negeri itu kepada kerajaan tetap sama.

"Masyarakat Melayu luar bandar masih mengharapkan bantuan kerajaan.

"Kerajaan menyediakan banyak bantuan kepada mereka seperti subsidi kepada pesawah, petani dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Walau bagaimanapun, masyarakat Melayu di bandar dijangka akan cenderung memilih untuk menyokong pembangkang ekoran kesan penyebaran maklumat khususnya di media sosial meskipun informasi-informasi yang tersebar itu diragui dan tidak benar.

Difahamkan bahawa kira-kira 80 peratus rakyat Kedah adalah terdiri dari kalangan bangsa Melayu beragama Islam dan majoriti darinya menetap di kawasan pinggir bandar dan luar bandar berbanding peratusan kecil di kawasan bandar di negeri itu.

Pola geo-politik kaum Cina pula dikatakan majoritinya bertempat di kawasan bandar di Kedah melibatkan kawasan Alor Setar, Sungai Petani, Kulim, Jitra dan sekitar pekan kecil di beberapa daerah.

Sebelum itu, memetik laporan Sinar Harian, penganalisis politik terkemuka negara itu menolak jangkaan Ahli Parlimen DAP, Liew Chin Tong, yang mendakwa kononnya akan berlaku "tsunami Melayu" pada PRU ke-14 nanti.

“Jadi saya tidak bersetuju akan berlaku tsunami Melayu kerana perbezaannya tidak banyak berubah,” kata beliau.

Selain Prof. Madya Dr. Marthada, kenyataan pemimpin DAP itu juga turut disangkal Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat yang menyatakan bahawa fenomena "tsunami" adalah merupakan suatu insiden yang bersifat tiba-tiba dan bukannya boleh diukur melalui jangkaan. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com