Pejabat Tourism Malaysia Seluruh Negara Ditutup Serta Merta


ALOR GAJAH - Semua pejabat Tourism Malaysia di seluruh negara ditutup berkuat kuasa serta merta bagi mengelak pertindihan kerja dengan agensi-agensi negeri dalam mempromosi pusat pelancongan di negara ini.

Semasa mengumumkan perkara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, penutupan kesemua 14 pejabat pelancongan itu tidak melibatkan pemberhentian kakitangan sebaliknya mereka akan diserap ke ibu pejabat kementerian dan jabatan lain.

Beliau berkata, langkah itu dijangka mampu menjimatkan kos kira-kira RM6 juta setahun, yang boleh digunakan untuk perbelanjaan lain.

"Setiap negeri mempunyai exco pelancongan dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) masing-masing, jadi kita tidak mahu tugas agensi itu dengan pihak berkuasa pelancongan negeri bertindih,"kataya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Tahun Baharu Cina dan Ulang Tahun Pertama Freeport A'Famosa Outlet di sini, Isnin.

Turut hadir Timbalan Menterinya Datuk, Mas Ermieyati Samsuddin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab Ghaffar A Tambi serta Pengarah Urusan Kumpulan A'Famosa, Datuk Alex Lau.

Mohamed Nazri berkata, walaupun kesemua pejabat Tourism Malaysia negeri ditutup, kementerian akan menyediakan lima pejabat informasi di beberapa negeri.

Pejabat berkenaan akan disediakan di Pulau Pinang bagi kawasan utara, Terengganu bagi kawasan timur, Johor bagi kawasan selatan serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bagi Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi Sarawak.

Pada 14 Januari lepas, kementerian mengumumkan bahawa empat pejabat Tourism Malaysia di luar negara iaitu New York di Amerika Syarikat, Perth di Australia, Stockholm di Sweden dan Johannesburg di Afrika Selatan ditutup serta merta tahun ini.

Ini berikutan pemberhentian perkhidmatan penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB) ke kawasan berkenaan. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com