Pejabat Tanah Daerah Kuala Muda Sangkal Dakwaan Di Media Sosial


SUNGAI PETANI - Pejabat Tanah Daerah Kuala Muda menafikan dakwaan bahawa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) sedang menjual tanah rizab kerajaan negeri secara besar-besaran, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini. 

Pegawai Daerah Kuala Muda, Nordin Yahya berkata pihaknya ada menerima  permohonan pemberimilikan daripada PKNK terhadap 13 lot tanah rumah-rumah kerajaan di Sungai Petani.

"Sebenarnya PKNK telah membuat permohonan pemberimilikan dan bukannya pengambilan tanah seperti yang tular di media sosial.

"Selepas menerima permohonan ini, Pentadbir Tanah (PT) akan menyediakan laporan tanah dan kemudiannya merujuk pula kepada jabatan-jabatan teknikal berkaitan bagi mendapatkan pandangan," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Kenyataan media itu dibuat susulan dakwaan beberapa lot tanah rizab kerajaan akan diambil alih oleh PKNK untuk dijual kepada pemaju.

Tambahnya, PT kemudiannya akan membuat pameran kenyataan cadangan pemberimilikan kepada orang ramai selama sebulan iaitu sehingga 18 Jan ini sekiranya terdapat bantahan berhubung permohonan itu.

"Sememangnya kita menerima banyak bantahan, dan selepas ini (tamat tempoh bantahan), PT akan membuat siasatan dengan memanggil pemohon iaitu PKNK serta semua pihak yang membuat bantahan.

"Ketika inilah PT akan memutuskan sama ada akan meneruskan atau menghentikan proses permohonan tanah ini, sebelum membuat kertas sokongan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," katanya.

Nordin berkata, status semasa berhubung permohonan tersebut ialah ianya masih dalam bidang kuasa PT tanpa melibatkan menteri besar mahupun anggota Exco Kerajaan Negeri.

"Saya berharap agar penjelasan ini dapat difahami oleh semua pihak dan sebarang tular yang mengelirukan rakyat perlulah dihentikan," katanya. – Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com