PBT Diminta Pantau, Baiki Jalan Berlubang Di Sg Petani

Beberapa jalan di kawasan perindustrian ringan Taman Sejati Indah yang berlubang.
SUNGAI PETANI - Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta mengambil langkah proaktif memantau serta membaiki keadaan jalan raya berdekatan kawasan perindustrian ringan di Taman Sejati Indah, di sini.

Ini berikutan masalah kerosakan jalan raya di kawasan perindustrian ringan dekat Taman Sejati Indah tidak boleh dibiarkan berpanjangan sebelum berlaku kejadian tidak diingini.

Susulan aduan orang ramai dan pengusaha kilang berdekatan, Adun  Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min, semalam meninjau lokasi terbabit bersama wartawan Sinar Harian.

Hasil tinjauan mendapati, rata-rata permukaan jalan raya dekat kawasan berkenaan berlubang dan boleh membahayakan pengguna kenderaan terutama penunggang motosikal pada waktu malam dan hujan.

“Tinjauan saya mendapati beberapa jalan berlubang sudah lama, ada yang ditampal tetapi rosak semula, ada juga belum ada kerja-kerja membaiki jalan rosak sehingga kini walaupun aduan sudah dibuat kepada PBT,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan aduan diterima pihaknya, ramai pengguna jalan raya mengeluh khususnya pengusaha industri ringan dekat situ bahawa keadaan jalan teruk di kawasan perindustrian yang keliling kawasan perumahan terbabit menyukarkan dan berisiko tinggi berlaku kemalangan.

“Keadaan jalan berlubang menyukarkan pemandu apabila mereka tiba-tiba cuba mengelak tanpa mempedulikan kenderaan di sebelah atau di belakang mereka atau pengguna cuba mengelak lopak ketika melalui jalan itu," katanya.

Tze Min berkata, beliau berharap pihak berwajib berbuat sesuatu dan tidak menunggu hampir pilihan raya baru hendak mengambil tindakan kerana melibatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Selain isu jalan rosak, Tze Min juga meminta kerjasama pihak PBT untuk menyediakan kemudahan tong sampah di kawasan Perusahaan Indah, Taman Sejati Indah.

“Kebanyakan kedai beroperasi di zon perindustrian ringan bukanlah beroperasi dalam skala besar untuk menyumbang sampah yang terlalu banyak tetapi tanpa kemudahan tong sampah menyukarkan peniaga kecil di situ untuk membuang sampah dengan cara yang betul.

“Selepas mendengar aduan itu, ada segelintir daripada pengusaha ada menyatakan kesanggupan untuk membeli tong sampah sendiri tetapi meminta jasa baik pihak PBT untuk datang memungut sampah dalam tempoh dua kali seminggu.

“Saya yakin, tindakan kerja-kerja pembersihan itu akan membantu pengusaha di situ membuang sampah sarap dengan lebih terurus dan dapat elak pembakaran terbuka dekat kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, seorang pemilik kedai membaiki dan servis kereta di kawasan perusahaan berkenaan, Lim Lee See mewakili pengusaha lain di kawasan itu berkata, kesemua peniaga di situ adalah pembayar cukai taksiran PBT sewajarnya layak untuk mendapatkan kemudahan awam yang selesa.

“Sebagai pembayar cukai, kita berharap dapat pertimbangan sewajarnya daripada pihak PBT membantu menyediakan kemudahan awam seperti jalan raya, tong sampah dan lampu jalan secukupnya  di kawasan perindustrian.

“Walaupun, ramai beroperasi di zon perindustrian bukan semuanya menjalankan aktiviti perindustrian. Seperti saya, hanya membaiki dan servis kereta,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com