Pasangan Di Tanah Merah, Pendang Tabah Besarkan 2 Anak OKU

Rusli dan Eda bersama dua anak mereka.
PENDANG - Kesabaran yang tinggi amat diperlukan dalam membesarkan anak-anak yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Rusli Othman, 46, berkata dia dan isteri, Eda Jusoh, 44, sentiasa sabar menguruskan dua anak mereka.

“Bukan senang nak menjaga anak berstatus OKU ini, sifat sabar adalah perkara paling utama. Jika tiada sabar musnahlah semuanya,” ujarnya.

Keluarga ini yang tinggal di Kampung Tanah Merah, Pendang mendapat bantuan perumahan daripada pihak kerajaan.

“Alhamdulilah, dengan ada bantuan perumahan ini saya dapat pastikan anak-anak saya sedikit selesa berbanding jika tinggal di rumah sewa dahulu,” katanya.

Rusli yang bekerja sebagai pembantu kedai makan memperoleh pendapatan RM15 sehari.

“Nak pergi buat kerja luar saya bimbang keadaan anak, tambahan pula saya sendiri menghidap penyakit kencing manis,” ujarnya.

Anak sulong pasangan ini, Nurul Izzati, 19, mengalami masalah lembam dan sukar memahami sesuatu perkara.

Manakala anak keduanya, Muhammad Arif,18 mengalami masalah kekejangan otot sejak berusia sembilan tahun.

Eda berkata, ketika lahir anaknya, Arif bersifat normal dan boleh berjalan tanpa sebarang masalah.

“Arif boleh berjalan dengan baik cumanya dia kerap terjatuh ketika berjalan.

“Saya ingat itu adalah perkara biasa, tak sangka pula begini kesudahannya,” cerita Eda sambil menahan sebak.

Tambah Eda, ketika Arif berusia sembilan tahun, Arif terjatuh dan mengalami kekejangan yang teruk.

“Bermula ketika itu dia tidak dapat berjalan dan bergerak seperti kebiasaan dan hanya mampu terbaring sahaja. Namun begitu dia memahami dan mampu bercakap seperti orang normal.

“Luluh hati saya bila terkenangkan anak lelaki saya terlantar sebegini. Kami cuma ada dua orang anak sahaja dan keduanya tidak sihat,” jelasnya.

Menurut Eda, segala keperluan Arif terpaksa diuruskan seperti ke bilik air, makan dan sebagainya.

“Arif sukar bersendirian. Dia nak sentiasa ada orang di samping dia sebab dia perlu bergerak 10 minit sekali.

“Dia tak boleh duduk dalam satu posisi terlalu lama, jadi mahu atau tidak saya mesti ada di sampingnya.

“Penat. Memang penat, Tetapi apakan daya, saya perlu sabar dan tabah tempuhi dugaan ini,” katanya.

Pada waktu malam, Arif suka merengek dan ini menyebabkan mereka suami isteri tidak boleh tidur nyenyak.

“Kami berdua hanya tidur-tidur ayam sahaja dan kadang-kadang kami bergilir menjaga Arif pada waktu malam.

Menurut Eda, dia dan suami tidak akan tinggalkan anak mereka di rumah berdua kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku.

“Kalau kenduri rumah saudara terdekat kami akan bergilir-gilir pergi dan kalau kenduri saudara jauh suami sahaja yang akan pergi kerana saya memang tak boleh tinggal anak-anak.

“Alhamdulilah, saudara mara memahami keadaan kami dan turut membantu kami sekeluarga,” ujarnya.

Rusli berkata, doktor mengesahkan anaknya Arif sudah tidak punya harapan untuk sembuh.

“Walaupun begitu, kami tetap mencuba pelbagai kaedah rawatan samada moden ataupun tradisional bagi membantu Arif pulih seperti sedia kala.

Tambah Rusli, setiap malam Arif selalu sakit badan dan kekejangan.

Eda berkata, sebagai ibu, nalurinya selalu mengharapkan anaknya itu cepat sembuh dan kembali normal.

"Arif juga kerap dimasukkan ke hospital. Baru-baru ini dia dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor.Setar selama seminggu.

"Kakaknya pula, tidak normal sejak lahir. Ketika umur tiga tahun baru Nurul Izzati boleh berjalan seperti kanak-kanak lain,"katanya.

Menurut Rusli, anak perempuan mereka mudah mengamuk dan merosakkan barang.

“Kami tak boleh nak berkasar dengan dia sebab kalau salah sikit mesti dia mengamuk,” ujarnya.

Rusli berkata, dia sangat bersyukur kerana baru-baru ini Arif mendapat bantuan kerusi roda bernilai RM3,400 daripada Lembaga Zakat Kedah.

Meskipun anak mereka mengalami kecacatan fizikal, tetapi pasangan suami isteri ini tetap menghantar anak mereka ke sekolah.

“Sebelum ini kedua-dua anak saya bersekolah dan mereka mendapat bantuan OKU sebanyak RM150.

“Bila sekarang ini mereka dah tak bersekolah jadi saya perlu ke JKM semula untuk menukar status pemohon.

“Alhamdulilah semuanya berjalan lancar dan pihak JKM sudah berjanji untuk memproses permohonan awal tahun hadapan.

"Saya juga ingin memohon supaya pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  meluluskan permohonan saya secepat mungkin,” katanya.

Orang ramai  yang ingin menghulurkan bantuan meringakan beban keluarga ini bolehlah berbuat demikian di akaun Maybank 152023418187 atas nama Rusli.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com