PAS Tak Layak Cakap Soal Pakatan Pembangkang, Kata PAN


KOTA BHARU - Kegagalan pakatan pembangkang untuk bersatu dalam Pakatan Harapan bukan disebabkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya berpunca daripada Pas.

Naib Pengerusi PAN Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, Pas tidak boleh selama-lamanya menyalahkan pihak lain kerana kegagalan pakatan pembangkang.

“Setakat ini hanya Pas jadi masalah dan penghalang kepada pakatan pembangkang bersatu.

“Parti lain seperti DAP, PKR dan PAN telah terima Pengerusi PPBM itu sebagai antara penggerak pakatan pembangkang,” katanya, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang didakwa berkata sikap Tun Mahathir yang tidak pernah berubah akan menyukarkan kerjasama pembangkang secara keseluruhan.

Malah Mohd Amar turut membayangkan pakatan pembangkang akan hadapi kesukaran jika terus bekerjasama dengan Tun Mahathir.

Che Ibrahim memberitahu, Pas mahu semua parti pembangkang lain berada bawah telunjuk mereka dan jadikan sebagai ketua.

“Sebab itu Pas hanya selesa bila berada dalam blok ketiga bersama parti-parti lebih kerdil seperti Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa).

“Pas tidak layak bercakap soal pakatan pembangkang dan parti lain terutama PPBM dan PKR,” katanya.

Che Ibrahim berkata, kedua-dua situasi itu adalah berbeza dan setiap pihak mesti menggunakan neraca pertimbangan yang berbeza dalam menilai perkara tersebut.

“Pakatan Harapan tidak ada masalah berhadapan BN jika semua parti bergabung dalamnya nekad melupakan Pas.

“Selagi PKR atau PPBM menaruh harapan Pas akan bersama pembangkang lain sedangkan Pas nekad tidak bersama DAP dan PAN,  selagi itulah Pakatan Harapan dilihat tidak kemas dan bermasalah,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com