PAS Sifatkan Pelawaan Kit Siang Sebagai "Wayang Opera Murahan"

Lim Kit Siang (kiri)
ALOR SETAR - PAS menyifatkan pelawaan DAP untuk menjalin kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 hanyalah sebagai "wayang opera murahan" yang boleh diperkotak-katikkan PAS seperti sebelum ini.

Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan Tantawi menegaskan bahawa PAS serik dengan sikap DAP yang dua kali tidak menghargai PAS sebelum ini.

"Cukuplah pengalaman 2 kali diperlakukan DAP sedemikian rupa.

"Sampaikan salam perjuangan kami buat YB Lim Kit Siang bahawa prinsip dan dasar perjuangan PAS bukan kostum untuk diperagakan di pentas opera DAP," tegas beliau dalam satu kenyataan balas berhubung isu berkenaan.

Kata Nasruddin, PAS bukan saja tidak akan sesekali melupakan perbuatan DAP sebanyak dua kali mengkhianati PAS, malah turut akan mengambil teladan atas "tikaman" dan pelbagai serangan yang dibuat parti itu terhadap PAS.


Justeru itu beliau membayangkan keadaan sebenar DAP yang dilihat begitu terdesak sehingga memerlukan komitmen PAS untuk berdepan PRU ke-14 nanti.

"Sikap tidak jujur dan tidak sabar DAP membuatkan 2 kali mereka meninggalkan PAS malah menikam dan menyerang PAS.

"Kali ini, sekali lagi DAP mahu menghulurkan salam kerjasama? Kenapa? Apakah DAP benar-benar terdesak?,"

Nasrudin dalam kenyataannya turut menegaskan bahawa PAS punya maruah yang tidak mungkin sesiapa lagi boleh memperdaya dan memperkotak-katikkannya. 

Untuk rekod, PAS pernah menyertai Barisan Alternatif pada 1999 bersama Parti Keadilan Nasional (kini PKR), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan DAP.

Namun gabungan itu bagaimanapun gagal, selepas DAP bertindak keluar sebelum pilihan raya 2004 yang menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional.

Menjelang PRU ke-11 pada tahun 2008, PAS, PKR dan DAP sekali lagi menubuhkan gabungan di bawah Pakatan Rakyat.

Ia bagaimanapun tamat selepas PAS dan DAP kembali bertikam lidah mengenai hala tuju pelaksanaan undang-undang Islam termasuk hukum hudud yang akhirnya memecah-belahkan PAS dan tertubuhnya parti serpihan parti itu, PAN. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com