PAS Kedah Dakwa Mukhriz Menipu, Pandai Tabur Janji Manis?


ALOR SETAR - PAS Kedah menyifatkan Barisan Nasional (BN) Kedah bukan saja lemah, malah menipu dan bijak menabur janji manis sedangkan rakyat di negeri itu terus derita selama 4 tahun berkhidmat sebagai Kerajaan Negeri.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Mohd Azam Abdul Samat BN juga masih gagal menunaikan banyak janji melibatkan pembangunan di Kedah yang melibatkan manifesto parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu.

"Jangan lupa, pemerintahan BN nyaris menjual KUIN, menyerah rangkaian Maktab Mahmud kebanggaan Kedah kepada Kerajaan Persekutuan dan gagal meneruskan pembinaan MTSD di Pulau Tuba, Langkawi. Lebih teruk, apabila banyak pembangunan digariskan dalam manifesto BN pada PRU lalu belum ada mampu dilaksanakan.

"Menunjukkan BN Kedah bukan sahaja lemah dan gagal, tetapi juga menipu serta hanya pandai menabur janji manis yang terus diulang selama empat tahun ini.

"Hakikatnya, kosong dari kejayaan hingga terpaksa mengumumkan pencapaian yang penuh sandiwara, syok sendiri dan penyedap halwa telinga, sedangkan rakyat masih kekal terhimpit oleh politik BN," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini yang dipetik dari Harakahdaily.

BN sebelum ini mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir mentadbir sebagai Menteri Besar Kedah selama hampir 3 tahun sebelum majoriti Adun Kedah hilang kepercayaan kepada beliau.


Difahamkan bahawa pentadbiran kerajaan negeri lebih banyak ditentukan oleh Mukhriz memandangkan beliau berkuasa dalam tempoh 3 kali ganda lamanya berbanding Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang belum cukup genap setahun dilantik menjadi Menteri Besar.

Ekoran itu, timbul persoalan sama ada kenyataan oleh Ketua Pemuda PAS Kedah itu secara tidak langsung ditujukan kepada Mukhriz yang juga merupakan Pengerusi BN merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri selama hampir 3 tahun sebelum ini.

Sementara itu, Mohd Azam turut menafikan dakwaan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah yang mendakwa Mukhriz kini sedang diperalat PAS Kedah yang dilihat "tenggelam' berbanding parti pembangkang lain.

"Hakikatnya, PAS tidak mempergunakan Mukhriz dan tiada keperluan untuk itu," tegas Ahli Dewan Undangan (Adun) Sungai Limau itu. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com