PAN Tuduh FAM Tak Usaha Untuk Faiz Berbahasa Melayu Di Anugerah Puskas


KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) mendakwa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) punca Pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd. Faiz Subri tidak berucap dalam Bahasa Melayu di Zurich, Switzerland, kelmarin.

Timbalan ketuanya, Faiz Fadzil berkata, FAM telah mengabaikan kepentingan negara apabila penerima Anugerah Puskas FIFA itu gagal berucap dalam bahasa kebangsaan dalam majlis berprestij itu kerana FAM tidak meminta keizinan daripada FIFA untuk Mohd. Faiz berbuat demikian. .

“Seharusnya, pihak FAM telah bersedia daripada awal tentang perkara ini kerana umum sudah mengetahui melalui majlis anugerah yang lepas bahawa penerima anugerah akan memberikan ucapan.

“FAM sebagai ahli FIFA boleh sahaja menghubungi pihak penganjur untuk memaklumkan bahawa seorang penterjemah akan disediakan bagi membolehkan Mohd. Faiz bercakap dalam Bahasa Melayu kerana beliau sejak awal sudah menunjukkan keinginannya untuk memartabatkan budaya Melayu dan bahasa kebangsaan di dalam majlis tersebut,” dakwanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd. Faiz Subri sebelum iin menjelaskan beliau berhasrat berucap dalam Bahasa Melayu jika dinobat sebagai pemenang Anugerah Puskas selain memakai baju Melayu, tetapi tidak dibenarkan oleh pihak pengurusan FIFA.

Jelas FIFA, badan bola sepak dunia itu hanya membenarkan pemain bercakap dalam bahasa Inggeris, Sepanyol dan Perancis kerana tidak dapat menyediakan penterjemah terutama untuk televisyen yang disiar secara langsung di seluruh dunia.

Selain itu, Faiz juga terpaksa melupakan hasrat memakai baju Melayu yang agak nipis kerana keadaan cuaca di Zurich yang terlalu sejuk hingga mencecah -3 darjah Celsius. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com