"PAN Ganti PAS": PAS Cabar PAN Berentap Pada PRU Ke-14


ALOR SETAR - PAS mencabar Parti Amanah Negara (PAN) supaya berani berdepan sendiri dengan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti sekiranya berhajat menggantikan parti Islam itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, PAN tidak perlu menyuruh mana-mana parti sekutu mereka untuk berdepan dengan PAS dan parti Islam itu sedia menanti.

"Tetapi kalau betul hendak menggantikan PAS maka silakan bertanding melawan PAS.

"Jangan pula menyuruh parti lain berlawan dengan PAS kerana tidak berani berhadapan dengan PAS. Kami tunggu," cabarnya semalam, memetik laporan portal pro-pembangkang, Malaysiakini.com.

PAN sebelum ini menyatakan bahawa mereka akan bertanding di kerusi yang sebelum ini ditandingi PAS ekoran mendakwa "PAN ganti PAS".

Sebelum itu, Ketua Penerangan PAN yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata bahawa PAN mahu bertanding di kira-kira 40 kerusi parlimen, termasuk yang dimiliki PKR dan PAS.

Kenyataan tersebut adalah bercanggah dengan kenyataan Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub yang memberi jaminan bahawa PAN tidak akan bertanding di kerusi yang ditandingi sekutu mereka di dalam Pakatan Harapan, yang merujuk pada PKR.

Ekoran itu, dijangka PAN bakal meletakkan seberapa banyak calon parti itu di kerusi yang ditandingi PAS pada PRU ke-14 nanti. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com