PAN Dijangka Bertanding Di 21 Kerusi Dun Kedah, "Langgar" PAS


ALOR SETAR - Ramai penganalisis dan pemerhati politik di seluruh negara melihat tahun 2017 merupakan "tahun pilihan raya" ekoran desas-desus yang mengatakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bakal berlangsung pada tahun ini.

Pandangan tersebut diperkuatkan lagi dengan tersebarnya surat berkenaan taklimat petugas PRU ke-14 bagi Parlimen Kalabakan di laman sosial baru-baru ini.

Di negeri Kedah, pihak pembangkang dilihat amat teruja untuk menewaskan Barisan Nasional (BN), khususnya bagi dua parti baru, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bakal bertanding PRU buat pertama kali dalam sejarah.

Antara yang menjadi perdebatan hangat di kalangan pemerhati politik tempatan adalah jumlah dan Dun yang bakal menjadi pilihan Parti Amanah Negara (PAN) ekoran parti berkenaan dilihat agak menonjol di negeri Jelapang Padi ini.

Berdasarkan penelitian semasa, dijangka PAN bakal bertanding di 21 Dun pada PRU ke-14 kali ini yang melibatkan beberapa kerusi yang majoritinya sebelum ini ditandingi oleh PAS dan beberapa kerusi PKR.

Dijangka Timbalan Pengerusi PAN Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi akan sedaya upaya mempertahankan kerusi N17 Dun Pengkalan Kundor yang dimenanginya pada PRU ke-13 yang lalu di atas tiket PAS.

Dun Pengkalan Kundor dilihat sebagai kubu kuat PAN dan Pengerusi PasMa itu telah memenangi kerusi berkenaan untuk dua penggal berturut-turut sebelum ini.

Bagaimanapun, PAS pula dilihat akan berhempas pulas cuba mendapatkan kembali Dun yang "dicuri" PAN itu dan dijangka berdepan kesulitan berdepan dengan BN yang sedang mengintai peluang untuk merampas kawasan tersebut dari parti pembangkang.

Selain itu, Pengerusi PAN Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh pula dijangka berkemungkinan besar akan kembali merebut kerusi Dun Alor Mengkudu yang pernah beliau menangi pada PRU ke-13 yang lalu.

Namun begitu, ia bukan merupakan tugas mudah ekoran terpaksa berdepan dengan Ketua Penerangan PAS Negeri, Ustaz Ahmad Yahya, dan calon BN yang dilihat sebagai calon "underdog" di Dun tersebut.

Selain Pengkalan Kundor dan Alor Mengkudu, 19 Dun lain yang dijangka bakal menjadi sasaran PAN ialah Kota Siputeh, Bukit Kayu Hitam, Kuala Nerang, Bukit Lada, Bukit Pinang, Anak Bukit, Kubang Rotan, Tokai dan Sungai Tiang.

Juga dijangka akan ditandingi PAN juga adalah di Dun Sungai Limau, Guar Chempedak, Belantek, Jeneri, Tanjong Dawai, Pantai Merdeka, Bayu, Kupang, Kuala Ketil dan Merbau Pulas.

Sekiranya PKR bersetuju untuk memberikan beberapa kerusi kepada PAN pada PRU ke-14 nanti, dijangka ia hanya melibatkan pertukaran kerusi Dun tertentu yang dilihat agak sukar bagi PKR untuk menang.

Antara Dun kuota PKR yang berkemungkinan besar sedang diintai PAN adalah Bakar Bata dan Pedu. Sekiranya dua Dun berkenaan benar ditandingi PAN, maka bermaksud parti itu akan bertanding di 23 kerusi Dun Kedah pada PRU ke-14 nanti.

PAN sebelum ini mengumumkan parti itu bakal bertanding di semua kerusi yang ditandingi PAS ekoran mendakwa parti berkenaan menggantikan kedudukan PAS.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan baru-baru ini memberi jaminan bahawa partinya tidak akan bertanding di mana-mana kerusi yang ditandingi PKR sebelum ini. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com