PAN Akui Parti Islam, Nafi Dakwaan Diperguna DAP


SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (PAN)  merupakan  sebuah parti Islam dan tidak pernah menjadi alat serta dipergunakan oleh mana-mana parti politik di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir berkata, dakwaan yang mengatakan PAN merupakan alat kepada DAP adalah berniat jahat dan fitnah semata-mata malah ia turut dianggap sebagai tuduhan tanpa fakta.

“Kami adalah parti Islam yang tak mungkin diperalatkan oleh mana-mana pihak.

“DAP merupakan sebuah parti demokratik yang memperjuangkan nasib rakyat malah mereka juga telah menjadi mangsa tohmahan rasis sejak dari dulul lagi,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengeluarkan kenyataan dengan mendakwa PAN diibaratkan seperti ‘penyapu’ berikutan kesungguhan mereka mempertahankan DAP khususnya dalam agenda memperkasakan Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Menyentuh mengenai dakwaan itu, Anuar berkata, PAN telahpun memberi pandangan  di Parlimen  berhubung pendirian mereka  terhadap   RUU355  dan segala tuduhan yang dilemparkan tersebut adalah palsu.

“Bila masa kita tentang RUU355?

“RUU355 belum dibentangkan malah hanya baru dibaca di Parlimen dan saya mempersoalkan dakwaan fitnah tanpa bukti tersebut,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

1 comment:

| Copyright © 2013 KedahNews.com