Padah Menyamar Jadi Pegawai Imigresen Di Alor Setar

Suspek yang diiringi pegawai SPRM tiba di pejabat SPRM selepas perintah reman di Mahkamah Majistret
ALOR SETAR - Seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Imigresen serta mengugut seorang pemilik syarikat ditahan di sebuah pasar raya di sini, kelmarin.

Lelaki berkenaan yang berusia 52 tahun turut memiliki sepucuk pistol tiruan ketika ditahan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 12 tengah malam.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, suapan sebanyak RM2000 itu diminta suspek kononnya bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil terhadap syarikat mangsa yang dipercayai menggaji pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen lengkap.

“Ketika ditahan, suspek sedang berurusan dengan mangsa di pasar raya berkenaan. Pemeriksaan lanjut terhadapnya juga menemui sepucuk pistol yang dipercayai digunakan untuk menguggut mangsa.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana meminta rasuah dan dia kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (kelmarin),” katanya.

Terdahulu, Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Jamaluddin Elias, mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari kepada suspek di Mahkamah Majistret di sini.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com