Oksigen Kurang Punca Ribuan Tilapia Maut Di Tasik Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR – Para penduduk flat kos rendah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri di sini terpaksa menahan bau tengik susulan beribu-ribu bangkai ikan busuk sejak petang Selasa.

Sebelum ini, sejumlah besar ikan tilapia memang banyak dilihat berenang di sebuah tasik di kawasan kediaman tersebut yang terletak bersebelahan sahaja dengan lebuh raya sibuk Jalan Lingkaran Tengah II dekat Kepong.

Khairul Anuwar, 50 tahun, memberitahu portal Malay Mail Online: “Beberapa penduduk percaya tasik itu mungkin tercemar. Ia mungkin disebabkan oleh sejenis penyakit, dan pihak berkuasa harus menyiasat secepat mungkin.”

Dia turut mendedahkan bahawa mereka sudah membuat aduan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Alam Sekitar untuk segera melakukan tindakan pembersihan.

“Ia mungkin akan mengambil masa selama beberapa hari. Saya berharap pihak berkuasa akan dapat ambil tindakan susulan secepat mungkin kerana bau busuknya semakin bertambah kuat pula,” katanya kepada portal berita itu.

Dalam pada itu, seorang jurucakap Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL berkata bahawa aliran tetap bahan cemar alam sekitar dalam tasik itu mungkin mengurangkan gas oksigen untuk ikan dalam tasik.

Ini mengakibatkan berlaku peningkatan gas tersebut atau dikenali dalam istilah biologi sebagai Permintaan Oksigen Biokimia (BOD) dan keadaan tersebut kemudian menyebabkan ikan air tawar boleh mati dalam jumlah yang besar.

Menurut jurucakap itu lagi, pihak DBKL akan mula melakukan pembersihan keseluruhan tasik tersebut dalam masa dua minggu. Kawasan berkenaan juga terletak kira-kira 11 kilometer dari Empangan Klang Gates di Hulu Klang.

“Disebabkan hujan, sukar dibersihkan serta-merta kerana sampah akan terus mengalir ke dalam tasik. Namun jika cuaca baik, kami akan cuba hapus segala bahan pencemar di situ,” menurutnya. – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com