Nasib 3 Beradik OKU Di Bandar Baharu Dapat Perhatian Adun

Norsabrina (dua, kanan) beramah mesra dengan tiga beradik OKU ketika Program Ziarah Kasih, kelmarin.
BANDAR BAHARU - Ketabahan tiga beradik OKU fizikal dan lembam di Kampung Relau, dekat sini, dalam menguruskan hidup setelah kehilangan ibu mereka sebulan lalu, mendapat perhatian Adun Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Lebih malang, bapa kepada tiga beradik itu, Mat Salleh Said, 66, turut diserang strok sehingga lumpuh separuh badan sejak beberapa tahun lalu.

Ibu saudara mereka, Aishah Said, 63, berkata, anak sulung abangnya, Adura, 33, menggalas tugas memasak dan menjaga dua adiknya yang mengalami masalah sama, Rosli, 30 serta Mohd Faizal, 28.

Katanya, Adura yang merupakan ibu tunggal kepada dua anak, tinggal di rumah tersebut bersama anak-anak selepas suaminya meninggal dunia.

“Mereka semua enam beradik. Tiga lagi sihat dan sudah bekerja, tapi sering lawat dan bantu apa yang mampu. Dulu semasa ibu mereka ada, mereka lebih terurus. Sekarang kakak sulunglah yang masak untuk adik beradik ini,” katanya.

Tambah Aishah, nasib enam beranak itu juga sering mendapat perhatian orang kampung yang menghulurkan barangan makanan kerana simpati dengan nasib mereka.

“Alhamdulillah, ramai orang kampung prihatin dengan nasib mereka tiga beradik. Ada hulurkan beras dan kadangkala beri  ikan. Saya hanya masak untuk ayah mereka. Tak perlu risau kerana mereka boleh jaga diri sendiri walaupun tak seperti ketika arwah ibu mereka ada dulu,” katanya.

Terdahulu, Norsabrina turut melawat kediaman tiga beradik itu untuk hulur sumbangan dan beramah mesra.

“Setakat ini mereka dapat elaun daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kita bersyukur, walaupun keadaan mereka tak seperti orang lain, tapi mereka mampu berdikari. Terima kasih juga kepada masyarakat setempat yang prihatin,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com