Najibnomik, BR1M Dan Era Ekonomi Tun Mahathir


PADA Hari Natal, Tun Dr Mahathir Mohammad, Pengerusi PPBM dan de fakto ketua pembangkang mendakwa Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M adalah satu bentuk rasuah. Beliau berkata ketika 22 tahun menjadi Perdana Menteri, beliau tak perlu mengagihkan wang kepada rakyat.

Sehingga tahun lalu, 63 negara seluruh dunia, baik negara sedang membangun mahupun negara maju mempunyai suatu bentuk sistem bantuan kewangan yang mempunyai pelbagai nama. Di UK, ia dipanggil ‘Income Support’, di USA namanya ‘Temporary Assistance for Needy Families atau TANF’, di Peranchis pula, ‘Revenu de Solidarite Active (RSA)’, di Mexico ia dipanggil ‘Oportunidades’ dan di Brazil, ‘Bolsa Familia’.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan satu dari tujuh penduduk dunia menerima bantuan kewangan secara terus dari kerajaan masing-masing. Jika BR1M dianggap sebagai rasuah, maka negara-negara di atas dan rakyat mereka tentunya bersalah.

Sebenarnya, BR1M adalah salah satu komponen utama dalam usaha kerajaan dalam pembangunan jaringan keselamatan sosial negara. Dalam tahun 80an hingga 90an, ketika kita sibuk membina menara pencakar langit, pembangunan jaringan keselamatan sosial seolah dilupakan. Walaupun kadar kemiskinan ketika itu setinggi 30%, hanya segelintir yang menerima bantuan kewangan dari kerajaan dan tiada yang mendapat bantuan kewangan jika mereka dibuang kerja atau menghadapi krisis kewangan.

Tidak menghairankan ketika krisis ekonomi 1997-1999, apabila jumlah penganggur meningkat mendadak, ramai yang mengikut Datuk Seri Anwar Ibrahim turun protes di jalanraya. Kebanyakan mereka hadir bukan untuk Anwar tapi kerana mereka marah dan kecewa akibat kehilangan kerja. Tiada sistem yang boleh membantu mereka dan Anwar Ibrahim nampak ini sebagai satu peluang untuk mengumpulkan pengikut dalam mengejar cita-cita politik beliau.

Dalam masa yang sama, kadar jenayah dan keganasan turut meningkat.Walaupun ramai yang memuji tindakan Dr Mahathir dalam mengatasi krisis kewangan pada 1999, ramai pakar yang berpendapat bahawa Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim lah yang sebenarnya bertanggungjawab menyebabkan krisis tersebut. George Soros hanya mengambil peluang dalam kelemahan sistem pengurusan kewangan dan ekonomi ketika itu yang mula merekah berbulan-bulan sebelum krisis tersebut berlaku.

Ketika tahun 80an-90an jika anda memandu Porsche, anda akan mendapat bantuan subsidi lima kali ganda lebih banyak dari pemandu Kancil dan jauh berganda-ganda berbanding penunggang motorsikal kapcai. Lebih mewah gaya hidup anda, lebih banyak bantuan subsidi diterima. Ini sangat tidak adil.

Oleh itu, dalam program rasionalisasi subsidi di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Abdul Razak, jika anda kaya-raya anda tidak mendapat banyak subsidi. Tapi jika anda dari golongan kurang berkemampuan dan miskin, kerajaan akan membantu anda dengan menggantikan subsidi minyak dengan memberikan bantuan wang tunai melalui BR1M. Dengan cara ini, bantuan subsidi dapat diberikan kepada golongan sasar dengan lebih berkesan.

Hasil dari pengurusan rasionalisasi subsidi, pada 2015 kerajaan dapat menjimatkan RM6 billion setiap tahun dan penjimatan ini dimanfaatkan dan dipulangkan semula kepada rakyat yang memerlukan dalam bentuk BR1M serta untuk mengurangkan defisit fiskal.

Alternatif kepada bantuan tunai adalah jika kerajaan memberikan bentuk jenis bantuan barangan yang difikirkan perlu kepada rakyat. Contohnya, jika kerajaan fikir rakyat perlukan bantuan baju baru maka kerajaan akan mengedarkan bantuan baju-baju baru ataupun kupon bantuan pembelian baju baru kepada rakyat yang memerlukan. Teknik yang sama juga akan dipakai untuk barangan lain yang difikirkan perlu oleh kerajaan seperti makanan, telefon, membaiki rumah dan sebagainya dengan mengedarkan barangan atau kupon berkaitan. Tiada bantuan berbentuk wang tunai di situ.

Mungkin ada sesetengah pihak yang lebih suka dengan cara sebegitu, dengan membiarkan kerajaan untuk memikirkan segala-galanya untuk rakyat termasuk jenis pakaian yang mesti dipakai, makanan yang mesti dimakan dan sebagainya. Ini adalah jenis kerajaan yang tak percayakan rakyatnya jika diberi wang tunai atau menganggap rakyatnya tak tahu berfikir. Nasib baik, kerajaan dan kepimpinan Malaysia tidak bersifat autokratik sebegitu rupa.

Sebenarnya adalah mustahil untuk kerajaan mengetahui apa yang semua orang perlukan. Mengharapkan kerajaan untuk mengetahui dan membuat keputusan ke atas setiap keperluan rakyat adalah satu kerja gila. Rakyat lebih tahu apa yang mereka benar-benar perlukan. Ada yang lebih perlukan makanan, pakaian, alatulis sekolah atau peralatan membaiki pukat nelayan. Mana mungkin kerajaan boleh beri kupon atau bantuan produk untuk segala jenis perkara, jika kerajaan cuba juga, akan mengakibatkan ketirisan dan pembaziran yang berleluasa.

Definisi keperluan asasi menjadi semakin kabur dari hari ke hari menjadikan bantuan barang asasi secara terus sangat tidak efisien berbanding dengan bantuan kewangan secara terus kepada rakyat. Hari ini si nelayan mungkin ada ikan dan makanan di dapur tapi ia lebih memerlukan wang untuk membaiki peralatan menjala dan memukat. Itu sebab wang tunai adalah raja. Bukan dalam konteks sinikal seperti yang dicanangkan oleh sesetengah pihak, tapi hakikatnya wang tunai adalah satu medium yang dapat menyelesaikan masalah berkaitan pelbagai keperluan yang bermacam rupa berbanding dengan bentuk-bentuk bantuan yang lain.

Malah jika kerajaan menggunakan bantuan barangan, ia adalah lebih sukar untuk diuruskan dan terdedah kepada penyelewengan orang tengah yang mungkin mengambil peluang untuk mengaut keuntungan, menjadikan teknik ini tidak efisien dan mudah mengalami ketirisan dan pembaziran.

Satu kajian yang dijalankan oleh US Naval Postgraduate School ke atas program-program bantuan rakyat di Mexico mendapati bahawa penerima bantuan wang tunai menerima kesan positif dari segi keseimbangan nutrisi dan kesihatan kanak-kanak yang sama tahap dengan penerima bantuan barang makanan. Akan tetapi, kos pengurusan bantuan barang makanan adalah 20% lebih tinggi dari kos pengurusan bantuan wang tunai. Kajian tersebut juga mendapati penerima bantuan wang tunai tidak menggunakan wang tersebut untuk membeli rokok atau arak. Malah, dengan lebihan wang tunai dari bantuan yang diterima, mereka dapat menggunakannya untuk sekolah, perubatan dan pengangkutan seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

Masalah kos sara hidup masakini adalah juga disebabkan oleh polisi yang dilaksanakan pada tahun-tahun 90an. Ketika itu, kebanyakan infrastruktur disediakan dengan polisi penswastaan dan dibiayai oleh rakyat yang menggunakan infrastruktur tersebut dan membayar kepada syarikat pengendali swasta berdekad-dekad lamanya. Pada ketika itu, ekonomi sedang rancak menaik. Pengunjuran ekonomi yang terlalu optimistik oleh pentadbiran pada ketika itu telah mengakibatkan rakyat terpaksa membayar harga atau tarif yang tinggi kepada pemegang konsesi swasta dan juga kepada syarikat pengeluar tenaga bebas.

Idea penswastaan sebenarnya adalah baik jika dilakukan dengan berhemah dan betul. Tetapi jika ia diseleweng, maka harga servis atau tarif yang perlu dibayar oleh rakyat akan dinaikkan setinggi-tingginya dan rakyat yang terpaksa membayar. Kerajaan hari ini bertindak mewujudkan BR1M sebagai salah satu mekanisme menangani kenaikan kos sara hidup.

Pada era 80an-90an, ada pemimpin mempercayai bahawa jika kita membina beberapa syarikat besar, manfaat dan kekayaan dari syarikat tersebut akan turun secara tak langsung kepada rakyat. Ketika itu para pemimpin berpendapat, jika kita membantu beberapa orang untuk menjadi kaya-raya, orang-orang ini akan turut turun membantu rakyat yang papa kedana. Pentadbiran ketika itu menggunakan idea ini sebagai polisi dalam usaha menyalurkan sebahagian besar sumber-sumber negara kepada beberapa peniaga terpilih untuk menjadi taikun bidang perniagaan masing-masing. Ramai yang duduk di atas menjadi kaya. Akan tetapi tak banyak dari kekayaan ini turun kepada rakyat jelata.

Antara tahun 1989 ke 1997 jumlah perkongsian pendapatan negara untuk golongan B40 yang berpendapatan rendah menurun dari 15% ke 13% berbanding dengan golongan T20 yang berpendapatan tinggi yang meningkat jumlah perkongsiannya dari 50% ke 52% dalam masa yang sama. Peribahasa “Orang kaya semakin kaya, orang miskin semakin miskin” adalah menjadi sangat benar ketika itu. Mengambil pengajaran supaya tidak terjadi lagi seperti di atas, pemimpin dan pentadbiran hari ini melakukan yang lebih baik iaitu berusaha mengembangkan ekonomi melalui peningkatan perniagaan sektor swasta dan dalam masa yang sama tidak melupakan golongan miskin dan juga sederhana seperti era 80an-90an.

Sejak Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri pada 2009, kerajaan berjaya mengurangkan insiden kemiskinan tegar dari 3.8% pada tahun tersebut kepada kurang dari satu peratus ketika ini dengan mengeluarkan 100,000 keluarga dari kepompong kemiskinan.

Ketika era kebangkitan ekonomi dotcom pada awal tahun 90an, ekonomi Amerika Syarikat berkembang dengan pesat. Sungguh pesat hinggakan dari tahun 1992-1997, kepesatan ekonomi AS menyumbang kepada penyusutan defisit fiskal lima tahun berturut-turut. Ia turut menjadikan ekonomi global ketika itu berkembang dua kali ganda dan banyak negara ketika itu berkembang naik ekonominya.

Malaysia juga turut merasai nikmat dari peningkatan ini dan sepertimana kebanyakan negara lain ketika itu, ekonomi Malaysia berkembang sehingga lebih 7% setahun.

Mungkin lebih mudah untuk meguruskan dan mengembangkan ekonomi negara ketika seluruh dunia menikmati peningkatan yang sama. Tidak dinafikan, kita berjaya menaikkan ekonomi ketika itu tapi kita juga bernasib baik. Pada masa tersebut, kita bersama-sama negara lain menikmati limpahan kemewahan ekonomi sedunia. Melihat secara objektif, mungkin gelaran “Keajaiban Malaysia” tahun 90an bukanlah satu keajaiban sebenarnya.

Adalah lebih sukar untuk mengembangkan ekonomi semasa kelembapan ekonomi dunia seperti sekarang. Singapura misalnya turut merasai tempias dengan menghadapi masalah untuk berkembang. Ekonominya bergerak perlahan kepada tahap kurang dari 1%. Seramai 13,000 orang telah hilang pekerjaan di sana baru-baru ini, kadar paling tinggi sejak krisis kewangan 2009.

Meskipun ada pihak pembangkang yang mencaci dan berfikiran negatif terhadap ekonomi Malaysia, pada hakikatnya ekonomi negara berkembang pada kadar lebih 4%, iaitu lebih tinggi dari purata perkembangan ekonomi dunia. Kadar pengangguran negara berada serendah 3% dan kemiskinan tegar dikekang di bawah 1%. Bank Dunia turut menjangkakan pada tahun 2017 ekonomi Malaysia akan menjadi lebih baik.

Inilah apa yang sedang dilakukan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Abd Razak yang berani menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan demi rakyat walaupun kecekalannya membuat perkara yang betul menggugat kedudukan politiknya. Inilah teras “Najibnomik”, pendekatan pengembangan ekonomi walaupun terpaksa membuat pilihan politik yang sukar, dan pada masa yang sama memastikan kehidupan golongan yang kurang bernasib baik mendapat pembelaan sewajarnya. Perdana Menteri Najib pernah berkata, ketika pentadbirannya, tiada siapa yang akan ditinggalkan di belakang.

Pada tahun-tahun 70an, Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Razak berjaya menaiktaraf kehidupan berjuta-juta keluarga miskin keluar dari kedhaifan. Ini adalah jasa dan legasi Tun Abdul Razak dan ianya terus diwarisi oleh anakandanya.

Pada pengakhirannya, sebagai sebuah masyarakat kita akan dinilai bukan dengan bagaimana kita melayan orang-orang yang kaya raya, tetapi dengan bagaimana kita melayan orang-orang miskin dan yang tidak bernasib baik. Dan penzahiran idea di atas, seperti pembangunan rangkaian keselamatan sosial kepada golongan rakyat di bawah dan pertengahan, akan menjadi salah satu legasi penting Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

* Isham Jalil, Penulis ialah Presiden Sukarelawan Malaysia/NST

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com