Mukhriz Tuduh Provokasi Media Lagakan Pemimpin PPBM


ALOR SETAR - Kebelakangan ini pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) digambarkan seolah-olah bermasalah, namun ia hanya sebahagian provokasi di media bertujuan melaga-lagakan pucuk pimpinan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu dikesan berlaku sejak dua minggu lalu, namun tidak berjaya memecah-belahkan kesatuan dalam PPBM.

“Terlalu banyak fitnah disebar terutama menerusi alam maya untuk melaga-lagakan kepimpinan PPBM. Saya akui PPBM diserang bertubi-tubi, terutama oleh cyber trooper BN dan wujudkan propaganda kerajaan supaya rakyat menolak berita pembangkang di media sosial,” katanya.

Sejak PPBM ditubuhkan September lalu, pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap pimpinan parti itu, antaranya, isu skandal serta perbalahan kalangan pemimpinnya.

Menurutnya, kebanyakan kenyataan itu disebar melalui Facebook palsu PPBM.

“Kempen supaya rakyat menolak berita palsu yang tersebar melalui media sosial adalah cubaan untuk memburukkan kredibiliti media sosial yang banyak mempengaruhi pandangan rakyat, selain untuk kembalikan keyakinan rakyat terhadap media perdana,” katanya.

Mukhriz berkata, walaupun wujud berita palsu disebar pelbagai pihak, namun parti pembangkang perlukan media sosial untuk sebarkan maklumat.

“Saya harap rakyat terima berita sahih dari sumber yang boleh dipercayai dan menolak berita dari sumber yang tidak diketahui latar belakangnya. Memandangkan pembangkang hanya gunakan medium maya, ada pihak ambil kesempatan kelirukan rakyat melalui laman sosial palsu,” katanya.

Menurutnya, provokasi maya itu dijadikan senjata baharu menyerang PPBM dalam cubaan mempengaruhi minda rakyat.

“Memang wujud banyak facebook palsu PPBM kebelakangan ini, ada gunakan logo sama, nama parti sedikit berbeza, perkataan pribumi sahaja. Niatnya hanya untuk kelirukan pembaca yang silap memilih medium rasmi PPBM,” katanya.

Mukhriz berkata, tidak mustahil pembaca terpedaya dengan kenyataan palsu terbabit kerana dimuat naik status itu di laman sosial dipercayai milik PPBM.

“Kenyataan saya sendiri pun ada, walaupun bukan dari saya! Disebarkan dari satu medium ke medium lain, seolah kenyataan yang tidak betul itu saya yang ulas,” katanya.

Menurutnya, walaupun parti itu diserang tanpa henti sejak diwujudkan, pihaknya yakin PPBM mampu bertahan dan tidak akan berkubur.

“Mungkin ada pihak bimbang dengan pengaruh PPBM. Semakin banyak kami diserang, itu petanda baik kepada parti, bermakna ada pihak terkesan dengan kewujudan PPBM. Asakan pihak lawan menguatkan kami, malah kami kuat kerana sokongan rakyat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

1 comment:

  1. Mukhriz mengakui betapa media sosial serta bahan dalam maya banyak terpalit dengan fitnah dan pembohongan. Bagus lah. PPBM merasai kesan dari penyebaran2 berita2 bohong seperti ini.

    Kerajaan Malaysia telah lama teruk diserang sedemikian rupa jua.

    ReplyDelete

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com